10 sekolah tahfiz tidak berdaftar di Johor

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 10 buah sekolah tahfiz di negeri ini yang belum berdaftar digesa agar melakukan pendaftaran.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, daripada keseluruhan 213 sekolah tahfiz, sebanyak 124 sekolah tahfiz telah didaftarkan dan beroperasi dengan tauliah di Johor.

Selain itu, sebanyak 79 buah sekolah tahfiz masih dalam proses pendaftaran dan belum mendapat kelulusan daripada Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

"Pengemaskinian data ini adalah hasil dari proses pemutihan yang telah dilaksanakan bermula 2017 lagi. JAINJ sentiasa bantu pihak pentadbiran sekolah-sekolah tahfiz dalam proses mendaftarkan sekolah mereka.

"Kerjasama yang diperoleh dari pihak sekolah-sekolah tahfiz ini amat baik bahkan mereka sentiasa mematuhi syarat dan ketetapan yang telah pun digariskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada selepas sidang Pertama Dewan Undangan Negeri(DUN) Johor ke-15, di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Menurut Mohd Fared, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha dalam melahirkan lebih ramai golongan hafiz dan hafizah di negeri ini.

"Kerajaan negeri telah pun menjalankan usaha agar para pelajar tahfiz ini bukan sahaja berjaya menghafaz al-Quran dan ilmu agama semata-mata tetapi mereka perlu mendapatkan pendidikan formal terutamanya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mempersiapkan diri mereka dalam melahirkan para huffaz yang berpendidikan dan profesional," ujarnya.