PRN Johor: Pengundi dibenar cabar tindakan SPR halang mengundi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengundi berdaftar Parlimen Iskandar Puteri memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan tindakan undang-undang berhubung tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalangnya daripada mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman dikemukakan R.K Tamileswaaran, 26, selaku pemohon terhadap SPR dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau berkata, permohonan itu mempunyai merit untuk didengar dan menetapkan 6 Julai untuk pengurusan kes.

Prosiding pada Rabu dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Al-Saifi Hashim dan Nik Ahmad Marzuki Nik Mohamad serta Peguam Persekutuan Nor Aqilah Abdul Halim dari AGC manakala Tamileswaaran diwakili peguam New Sin Yew dan Beatrice Chin Yuen Xin.

Menerusi permohonan difailkan pada 8 Jun lepas, lelaki itu memohon perintah mahkamah supaya membatalkan keputusan atau tindakan SPR yang menghalangnya daripada mengundi pada 12 Mac lepas atas alasan beliau masih dalam tempoh kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 pada 7 Mac.

Pemohon juga memohon deklarasi SPR bertindak secara salah dari sisi undang-undang dalam menafikan haknya untuk mengundi selain memohon deklarasi bahawa SPR mencabuli hak perlembagaan pemohon di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Tamileswaaran, beliau diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19 dan pada hari pengundian, beliau memasuki hari keenam kuarantin.

Dakwa pemohon, pada hari pengundian, jam 11.58 pagi beliau menjalani suatu ujian saringan kendiri Covid-19 di rumah dan keputusan daripada ujian saringan itu menunjukkan bahawa beliau negatif Covid-19.

Beliau berkata pada 10.30 pagi, ibu bapanya pergi ke pusat mengundi terlebih dahulu untuk mengundi dan mereka telah mendapatkan penjelasan daripada pegawai SPR yang bertugas mengenai situasi pemohon dan bertanya sama ada pemohon dibenarkan untuk datang mengundi atau tidak.

Dakwa pemohon, pada masa itu pegawai SPR yang bertugas memberitahu ibu bapanya bahawa pemohon boleh datang mengundi kerana terdapat sebuah khemah mengundi khas yang disediakan untuk individu seperti pemohon.

Menurut pemohon, setibanya di pusat mengundi pada 12.55 tengah hari, pegawai Rela dan anggota polis yang mengawal laluan masuk telah memeriksa MySejahtera pemohon yang menunjukkan risiko 'Tinggi' dan mengarahkan pemohon untuk pergi ke khemah mengundi khas yang ditempatkan di pusat mengundi itu.

Bagaimanapun, pemohon mendakwa beliau terkejut apabila pegawai SPR memaklumkan mereka menerima arahan baharu daripada SPR iaitu individu sedang dalam tempoh kuarantin tidak dibenarkan untuk mengundi dan perlu mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengundi. - Bernama