RM2.97 bilion untuk perlindungan alam sekitar

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A
SHAH ALAM - Laporan Perbelanjaan Perlindungan Alam Sekitar 2021 menunjukkan pemain industri di negara ini membelanjakan sejumlah RM2.97 bilion bagi perlindungan alam sekitar pada 2020.

Dalam tempoh tersebut, pemain industri di Malaysia menghadapi persekitaran perniagaan yang mencabar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan operasi mencatatkan pertumbuhan sederhana dengan hanya tiga peratus, manakala kemerosotan aliran bersih Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak 54.8 peratus.

“Selain itu, pengurangan perdagangan antarabangsa sebanyak RM60 bilion kepada RM1.78 trilion dan peningkatan kadar pengangguran ke paras 4.5 peratus, tertinggi sejak 1992 disebabkan oleh pandemik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Berdasarkan Laporan Perbelanjaan Perlindungan Alam Sekitar 2022 pula, beliau berkata, perbelanjaan operasi kekal mendominasi dengan sumbangan 74.4 peratus, manakala 25.6 peratus dibelanjakan untuk perbelanjaan modal.

“Pengurusan pencemaran mendahului perbelanjaan dengan RM2,103.7 juta atau 70.8 peratus, diikuti pengurusan sisa sebanyak RM766.8 juta (25.8 peratus) serta penilaian dan caj alam sekitar sebanyak RM67.2 juta (2.3 peratus),” ujarnya.

Tambah Mohd Uzir, sektor pembuatan merupakan pemacu utama kepada perbelanjaan perlindungan alam sekitar dengan sumbangan 80.1 peratus.

Menurutnya, sektor tersebut berkembang 9.2 peratus yang mana didorong oleh empat subsektor utama iaitu produk petroleum bertapis, minyak sawit mentah, sebatian bukan organik serta sarung tangan getah.

“Sektor perkhidmatan pula merupakan penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan sebanyak 12.3 peratus iaitu RM366.7 juta, diikuti oleh perlombongan dan kuari dengan sumbangan 3.4 peratus (RM100.4 juta).

“Sektor pembinaan menyumbang 3.0 peratus (RM88.4 juta) kepada jumlah perbelanjaan perlindungan alam sekitar, manakala pertanian, perhutanan dan perikanan menyumbang sebanyak 1.2 peratus (RM34.9 juta),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Uzir berkata, pandemik turut meningkatkan perbelanjaan perlindungan alam sekitar untuk subsektor rawatan dan pelupusan sisa dengan perbelanjaan sebanyak RM162.7 juta.

“Ini adalah disebabkan oleh peningkatan kuantiti sisa klinikal daripada kemudahan kesihatan termasuk peralatan pelindung diri (PPE) dan peralatan ujian Covid-19 untuk pengendalian pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan dan pusat kuarantin yang diwartakan kerajaan.

“Selain itu, Johor membelanjakan jumlah terbesar perbelanjaan perlindungan alam sekitar pada 2020 iaitu RM808.8 juta, diikuti Selangor (RM530.4 juta) dan Terengganu (RM236.4 juta).

“Ketiga-tiga negeri ini menyumbang kepada 53.0 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan,” katanya.