BN Perak sokong PRU15 tahun ini

Saarani
Saarani
A
A
A

PARIT - Barisan Nasional (BN) Perak menyokong gesaan agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera pada tahun ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, persiapan parti untuk menghadapi PRU15 sudahpun berada pada tahap tertinggi termasuk kesediaan mempersiapkan senarai calon bertanding.

Malah menurutnya, BN Perak juga telah memulakan pelancaran jentera di setiap Parlimen bagi memastikan kesediaan di semua peringkat termasuk akar umbi

"Sepatutnya (PRU15) tahun ini dan kita memang mahu tahun ini.

"Sekarang ini pun kita sudah mula mendapatkan senarai-senarai cadangan calon daripada bahagian-bahagian.

"Pada waktu sama kita buat kajian dan 'scanning' (tapisan) daripada pihak berkaitan supaya calon yang dipilih nanti adalah calon yang boleh memenangkan BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Pelancaran Jentera BN Parlimen Parit di Dewan Serbaguna Seri Iskandar di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Saarani (tiga dari kiri) menyampaikan watikah perlantikan kepada jentera BN Parlimen Parit.
Saarani (tiga dari kiri) menyampaikan watikah perlantikan kepada jentera BN Parlimen Parit.

Mengulas mengenai calon, Saarani berkata, BN Perak mempertimbangkan untuk mengetengahkan lebih ramai calon muda mewakili parti itu pada PRU15 nanti.

Jelasnya, perkara itu berdasarkan kejayaan diperoleh BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor lalu yang menampilkan muka-muka baharu dalam kalangan calon-calon muda.

"Tiada jaminan sama ada seseorang yang sedang menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) akan kekal kerana kemungkinan ada yang terpaksa digantikan.

"Kita perlu juga menonjolkan muka baharu khususnya orang-orang muda, ini mengambil contoh apabila berlaku di Melaka dan Johor," katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Perak itu berkata, pelancaran jentera BN Parlimen Parit adalah yang keenam daripada keseluruhan 24 Parlimen.

Katanya, langkah itu sebagai semboyan bahawa BN Perak telah bersiap siaga menghadapi PRU15 jika diadakan dalam waktu terdekat.

"Kita akan teruskan (pelancaran jentera) setiap malam setiap hujung minggu sehinggalah bubar (Parlimen), ini untuk beritahu bahawa kita sudahpun bersiap sedia," katanya.

Pada PRU14, BN Perak memenangi 11 kerusi Parlimen daripada 24 kerusi dipertandingkan dan 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada 11 kerusi itu, 10 daripadanya disumbangkan UMNO manakala satu lagi kerusi Parlimen dimenangi oleh calon MIC. UMNO turut menang di semua 27 kerusi DUN.