Kenanglah si mati dengan amal kebaikannya

Sebaiknya, jika mahu menyebut tentang ingatan kepada arwah, kenanglah si mati dengan segala amal kebaikannya. - Gambar hiasan
Sebaiknya, jika mahu menyebut tentang ingatan kepada arwah, kenanglah si mati dengan segala amal kebaikannya. - Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini teknologi pintar memudahkan segala info, gambar dan video disebarkan dengan pantas terutama melalui aplikasi telefon mudah alih dan media sosial.

Namun sentiasalah berwaspada kerana kecanggihan itu boleh menjadi penyebab umat Islam disoal di akhirat jika perkara yang disebarkan itu bersifat fitnah dan memalukan orang lain.

Justeru, Islam menganjurkan mereka yang telah melakukan dosa untuk kembali kepada ALLAH SWT tanpa menceritakan keaibannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka yang menunjuk-nunjuk dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu perbuatan di waktu malam.

Sementara ALLAH telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: "Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, pada hal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh ALLAH.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini menjelaskan bahawa orang yang bermaksiat pada waktu malam secara sembunyi, kemudian ALLAH menutup aibnya sehingga dia bertaubat kepada ALLAH; maka hal itu adalah baik baginya.

Namun kalau pada hari esok dia bertemu dengan orang lain dan bercerita tentang dosa dibuat, maka dia termasuk dalam kalangan orang yang tidak akan dimaafkan oleh ALLAH.

Akhir-akhir ini, kita melihat fenomena membuka aib sama ada diri sendiri ataupun keaiban orang lain secara terang-terangan.

Perbuatan seperti berjoget di aplikasi TikTok tanpa malu dan rasa bersalah seperti telah menjadi budaya. Jadi, tepuklah dada tanyalah iman sama ada mahu meneruskan aktiviti masa senggang dengan perkara itu lagi atau sebaliknya.

Itu kalau membuka aib sendiri, bagaimana halnya dengan aktiviti membuka aib orang?

Apabila meninggalnya seorang selebriti atau tokoh masyarakat, semua orang bergegas memuat naik foto Almarhum atau Almarhumah diiringi ayat ‘al fatihah’ dan ‘innalillah..’. Ia perbuatan terpuji. Lebih mulia lagi apabila foto yang dipilih adalah foto terbaik dalam keadaan arwah bertutup aurat.

Walaupun ada beberapa warga maya tidak bertanggungjawab berani mempertikaikan tentang keadaan si mati yang tidak menutup aurat dengan sempurna ketika masih hidup, namun sebaiknya kita tinggalkanlah urusan itu antara si mati dan ALLAH SWT.

Sebaiknya, jika mahu menyebut tentang ingatan kepada arwah, kenanglah si mati dengan segala amal kebaikannya.

Memetik kata Pencetus Ummah Haris Ismail atau PU Riz di dalam ciapan Twitternya, beliau memohon agar peminat tidak berkongsi foto selebriti Allahyarham Adibah Noor yang tidak menutup aurat dan cukuplah sekadar menyedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.

Perbuatan menyebar aib sesama manusia turut mendapat perhatian laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan ALLAH tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Juga daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa yang mencari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Budaya negatif ini termasuk dalam sunnah sayyiah iaitu amalan buruk) yang berdosa.

Daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal dengannya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdoalah selalu agar ALLAH memelihara aib kita dan dijauhkan daripada menyebarkan aib manusia lain.

Sesungguhnya adab dalam perhubungan sesama manusia menuntut seseorang itu berbudi bahasa dan hormat antara satu sama lain.

* Muhd Azman Mohd Nawi ialah Editor Sinar Islam Plus