Benarkah kita hanya guna 10 peratus keupayaan otak?

No Image Caption
A
A
A

MITOS bahawa kita hanya menggunakan 10 peratus daripada keupayaan otak kita ini sering dilontarkan oleh penceramah motivasi, guru-guru MLM, tabloid dan juga karya-karya Holywood seperti filem yang ditayangkan pada tahun 2014, Lucy.

Menurut mitos ini, sekiranya kita mampu menggunakan bahagian 90 peratus yang lain, kita akan mempunyai akses kepada kebolehan dalaman luar biasa seperti membuat kiraan kompleks dengan menconggak sahaja ataupun membaca minda orang lain.

Filem Lucy sedikit terleka dalam meneroka kebolehan yang tersimpan dalam bahagian 90 peratus ini dengan menterjemahkan protagonis mereka sebagai seseorang yang memiliki keupayaan persis dewa.

Seperti mitos-mitos yang lain, asal-usul mitos ini tidak berapa jelas.

Sesetengah pendapat popular menuding kepada seorang ahli falsafah dan psikologis Amerika Syarikat, William James, yang mana sekitar tahun 1890, beliau menyatakan bahawa kita hanya menggunakan sebahagian sahaja daripada keupayaan mental kita, tanpa memberi sebarang angka atau peratusan pada dakwaan tersebut.

Tiada angka yang diberikan kepada ‘bahagian’ yang dimaksudkan sehinggalah pada tahun 1929 apabila iklan dalam almanak dunia menyebut,

Artikel Berkaitan:


“Saintis dan psikologis mendakwa kita hanya menggunakan 10 peratus daripada keupayaan otak kita” (Beyerstein, 1999, p. 11). Sumber berlainan akan memberi dakwaan sumber yang berbeza namun apa yang pasti, dakwaan ini tiada asasnya dalam sains.

Berikut adalah 3 sebab kenapa mitos ini kekal sebagai mitos:

Kita telahpun menggunakan semua bahagian otak kita – Bagaimana kita tahu tentang hakikat ini? Melalui teknik pengimejan otak seperti imbasan PET atau MRI dan melalui imbasan-imbasan ini, kita mengenalpasti bahawa kita gunakan hampir semua bahagian otak dan bahagian-bahagian ini diaktifkan walaupun kita melakukan aktiviti-aktiviti mudah seperti bercakap, berjalan mahupun tidur. Walaupun kita tidak gunakan semua bahagian serentak, dalam mana-mana hari, di penghujungnya, kita telah menggunakan kesemua bahagian otak kita. Menurut Dr Eric Chudler, Pengarah Eksekutif di Pusat Neuroteknologi di Universiti Washington, kita memang menggunakan semua bahagian otak kita namun betapa effisyen kita menggunakannya adalah hal yang lain.

Kiraan yang tidak masuk akal – Sekiranya kita mengambil mitos ini sebagai fakta, beberapa masalah akan timbul. ‘Fakta baru’ ini bermaksud kita tidak memerlukan lagi 90 peratus bahagian otak kita kerana selama ini kita hanya berfungsi menggunakan kapasiti 10 peratus sahaja. logik ini bermaksud kita boleh membuang lagi 90 peratus otak kita dan kita akan kekal berfungsi seperti biasa, betul? Salah sekali. Ini kerana kecederaan otak sama ada disebabkan oleh kemalangan atau penyakit; sama ada pada bahagian kecil tertumpu seperti Hippocampus atau tunjang otak ataupun bahagian besar keseluruhan hemisfera kiri, akan mengakibatkan kecederaan dan kesan yang teruk pada keupayaan kognitif dan juga pada aspek fizikal. Bayangkan sekiranya kita membuang 90 peratus otak kita? Lebih parah keadaannya.

Kita perlu membekalkan tenaga kepada otak yang banyak – Walaupun otak hanya mewakili 3 hingga 4 peratus daripada berat keseluruhan badan kita, ianya menelan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada tenaga harian kita – beratus-ratus kalori untuk mengekalkan keaktifan otak dalam memastikan ianya mampu untuk terus mengawal fungsi badan luar kawalan. Dari sudut evolusi dan perspektif tenaga, ianya tidak masuk akal untuk kita habiskan tenaga sebanyak itu untuk organ yang hanya berfungsi pada kadar 10 peratus sahaja.

Sumber: Hello Doktor