Polis kesan penunggang motosikal gaduh di tengah jalan

Tangkap layar memaparkan dua individu bergaduh di tengah jalan di Ipoh. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar memaparkan dua individu bergaduh di tengah jalan di Ipoh. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam pergaduhan di tengah jalan raya dalam satu video tular dipercayai dirakam di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Kampung Tawas di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, insiden kira-kira jam 10.15 pagi itu melibatkan seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta masing-masing dari arah Ipoh menghala ke Chemor.

"Semasa kejadian, pemandu kereta telah hon sebagai peringatan kepada penunggang terbabit yang dikatakan menunggang dalam keadaan berbahaya.

"Penunggang tersebut bagaimanapun dipercayai tidak berpuas hati telah membaling batu ke arah kereta menyebabkan pemandu terbabit menghentikan kenderaan lalu berlaku sedikit kemalangan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit mengakui ada menolak individu berkenaan namun, tiada pergaduhan berlaku antara mereka.

"Setelah berlaku konfrontasi, penunggang terbabit meminta maaf dengan pemandu kereta itu lalu beredar dari tempat kejadian tanpa membuat laporan polis.

"Polis sedang mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat," katanya.