4,010 kenderaan keluar masuk Malaysia-Thailand melalui Kelantan

Kenderaan yang menggunakan pintu sempadan di Rantau Panjang.
Kenderaan yang menggunakan pintu sempadan di Rantau Panjang.
A
A
A
KOTA BHARU - Sejumlah 4,010 kenderaan direkodkan keluar dan masuk melalui tiga pintu utama sempadan negara antara Malaysia-Thailand di Kelantan sepanjang pembukaan sempadan pada 1 Jun hingga 20 Jun lalu. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, kenderaan keluar masuk melalui tiga pintu utama di negeri ini iaitu di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu juga, pintu masuk sempadan di Rantau Panjang mencatatkan bilangan kenderaan keluar dan masuk tertinggi iaitu 2,350 kenderaan.

“Kenderaan di kedua-dua negara dibenarkan menggunakan laluan di tiga pintu sempadan negara bermula 1 Jun lalu serentak dengan keputusan pihak berkuasa Thailand.

“Statistik kenderaan Malaysia keluar ke negara Thailand berjumlah 1,774 manakala kenderaan yang memasuki sempadan negara dari Thailand ke Malaysia pula 2,236,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi jabatan itu pada Selasa.

Beliau berkata, serentak itu juga, JPJ mengeluarkan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) melalui ketiga-tiga pintu masuk sempadan negara kepada 330 permohonan terhadap kenderaan persendirian asing negara Thailand.

“ICP tidak dikeluarkan kepada kenderaan asing yang bergerak dalam lingkungan dua kilometer dari sempadan di ketiga-tiga pintu masuk negara.

“Dalam kelompok itu, 285 kenderaan yang direkodkan dengan jenis kenderaan tertinggi yang dicatatkan adalah jenis motosikal, pacuan empat roda dan kereta,” katanya.

Menurutnya, kebenaran adalah selaras dengan arahan pembukaan sempadan Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada 5 Mei 2022 lalu.

“Turut direkodkan sejumlah 1,953 kenderaan Malaysia yang berada di negara Thailand sejak tempoh negara mula mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dibawa kembali memasuki Malaysia.

“Orang ramai boleh teruskan mengikutu laman sosial rasmi JPJ negeri Kelantan untuk mendapatkan informasi terkini,” katanya.