Pameran Penerbangan Selangor 2022 sasar transaksi RM700 juta

Chang Khim (tengah) pada sidang akhbar pelancaran SAS 2022 di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada Selasa.
Chang Khim (tengah) pada sidang akhbar pelancaran SAS 2022 di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Pameran Penerbangan Selangor 2022 (SAS2022) kembali pada tahun ini dengan sasaran potensi nilai transaksi sebanyak RM700 juta melalui acara yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 8 September hingga 10 September ini.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, edisi kali kedua ini dijangka bakal menarik 8,000 pengunjung dengan penyertaan lebih 70 ruang pameran syarikat dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, SAS2022 juga akan mempamerkan 30 kapal terbang dan helikopter termasuk jet peribadi mewah di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Subang.

"SAS 2022 membuka peluang jaringan perniagaan kepada pemain industri selain pendedahan serta ilmu mengenai dunia penerbangan termasuk teknologi dron kepada umum.

"Pada masa sama, penganjuran ini memberi idea buat golongan muda mengenai bidang kerjaya yang boleh diteroka dalam sektor penerbangan," katanya pada pelancaran SAS 2022 bertempat di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari.

Chang Khim berkata, sebanyak enam negara antaranya Itali, New Zealand dan Turkiye menyertai pameran pada tahun lepas dan jumlahnya dijangka bertambah melalui jemputan ke beberapa negara lain.

"Antara syarikat yang telah mengesahkan penyertaan adalah Sapura Aero, Destini Avia Technique, Epic Aero, DJI Academy, Superb Access, BCS Aviation, Bibus Metals, Sirim and International Aero Training Academy.

"Mereka yang berminat untuk turut serta dalam pameran ini boleh melayari laman sesawang www.selangoraviationshow.com bagi pendaftaran," katanya.

Edisi pertama SAS2021 yang diadakan pada 25 hingga 27 November tahun lalu telah menarik pelaburan sehingga 100 juta dengan sebanyak 12 memorandum persefahaman (MoU) membabitkan pelbagai kerjasama subsektor industri aeroangkasa telah dimeterai.