Lima ditahan bergaduh sebab kereta sewa tidak dipulangkan

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seramai lima lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di tapak pasar pagi berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Indah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan telah menerima maklumat berkaitan berlaku pergaduhan sekumpulan lelaki pada jam 12.35 tengah malam.

"Sampai di lokasi, kita mendapati lima lelaki sedang bergaduh. Akibat kejadian itu, salah seorang daripada mereka lebam di muka dan dahi, dia telah mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Farouk berkata, punca pergaduhan itu dipercayai akibat sewaan kereta yang tidak dipulangkan.

"Kesemua lelaki berusia 22 hingga 41 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula Isnin sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.