[VIDEO] Politik ini kena ada 'give and take': Bung Moktar

Bung Moktar ketika ditemui pemberita di SICC Kota Kinabalu.
Bung Moktar ketika ditemui pemberita di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berpandangan perlunya ada tolak ansur dalam politik demi menstabilkan negeri ini.

Katanya, beliau sangat menghargai pandangan ketua pembangkang di negeri ini terhadap kelebihan kerusi yang dimiliki Barisan Nasional (BN) membolehkan parti itu memerintah.

"Bagaimanapun, politik ini kena ada 'give and take', itu penting menstabilkan negeri dan rakyat.

"Tidak apa, terima kasih di atas pandangan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal," katanya ringkas kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada malam Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan) baru-baru ini bahawa kerajaan Sabah sepatutnya dipimpin oleh UMNO berikutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik BN lebih banyak daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu, BN memenangi 14 kerusi DUN manakala Bersatu hanya memperoleh 12 kerusi DUN.

Diminta mengulas berhubung kemasukan parti-parti tempatan di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi persaingan kepada BN, beliau menganggap ia bukan masalah.

"Biar Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri komen mengenainya. Bagi saya, kami tiada masalah sebab kami pun dalam BN sebagai parti komponen, bagus untuk mereka ikut GRS. Persaingan ada dimana-mana," katanya.

GRS yang dipimpin Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut dianggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Beberapa parti tempatan lain ketika ini turut memohon untuk menyertai GRS termasuk Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Cinta Sabah (PCS), parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan yang terbaharu, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).