Badan Peguam Malaysia gesa kerajaan ratifikasi Konvensyen Pelarian

Pelarian tidak dibenarkan bekerja secara sah di sisi undang-undang, menjadikan mereka terdedah kepada eksploitasi. - Gambar fail
Pelarian tidak dibenarkan bekerja secara sah di sisi undang-undang, menjadikan mereka terdedah kepada eksploitasi. - Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena Hari Pelarian Sedunia, Badan Peguam Malaysia mengulangi gesaannya agar kerajaan meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 Berkaitan Status Pelarian; kedua-duanya merupakan instrumen undang-undang antarabangsa yang menetapkan hak pelarian.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn berkata, Malaysia kekurangan kerangka kerja perundangan yang efektif untuk mengesahkan dan melindungi pelarian, yang mengakibatkan mereka terpaksa bergelut untuk mendapatkan keperluan asas, dan tidak diberikan perlindungan undang-undang yang kritikal.

"Mereka (pelarian) tidak dibenarkan bekerja secara sah di sisi undang-undang, menjadikan mereka terdedah kepada eksploitasi, anak-anak mereka tidak dibenarkan ke sekolah, dan mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran, antaranya bagi mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Karen menggesa kerajaan mewujudkan kerangka kerja perundangan dan pentadbiran bagi menangani masalah pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dengan lebih teratur.

Menurutnya, gesaan bagi mendapatkan layanan yang lebih baik untuk pelarian tidak boleh diabaikan, dan beliau berharap kerajaan Malaysia akan bertindak balas terhadap nasib kumpulan rentan ini, dengan belas ihsan dan kebaikan. - Bernama