Peruntuk RM28 juta kepada imam, bilal, noja di Johor

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak RM28 juta diperuntukkan bagi membayar elaun bulanan kepada imam, bilal dan noja di Johor pada tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM12.6 juta diperuntukkan kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) manakala sebanyak RM15.4 juta disalurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengemukakan cadangan dan semakan elaun ini pada tahun lalu dan kerajaan memang berhasrat menaikkan kadar elaun pegawai-pegawai masjid sebaik sahaja keadaan ekonomi mengizinkan.

"Walaupun kenaikan kadar elaun pegawai masjid dan surau di negeri ini tidak dapat dilaksanakan buat masa ini, namun mereka telah menerima bantuan ‘one off’ sebanyak RM500 seorang daripada Jakim yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.3 juta.

"Pegawai masjid dan surau ini juga telah menerima bantuan RM500 daripada kerajaan negeri di bawah inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor bagi tahun ini melibatkan peruntukan berjumlah RM 2.295 juta," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) mengenai jumlah elaun yang dibayar oleh kerajaan negeri kepada imam, bilal dan noja, dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-15, pada Isnin.

Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, kerajaan negeri telah melantik seramai 5,710 pegawai masjid untuk memegang jawatan sebagai imam, bilal dan noja di 838 masjid serta 1,961 surau.

"Johor adalah satu-satunya negeri yang memberikan elaun bulanan kepada imam dan bilal surau yang mana negeri-negeri lain hanya memberi elaun kepada pegawai masjid.

"Walaupun elaun pegawai surau nilainya tidak tinggi, tetapi sekurang-kurang mereka tidak ditinggalkan dari sudut kebajikan," katanya.