Bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara dimusnahkan

Sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara dan mencandat sotong tanpa kebenaran pada tahun lalu dimusnahkan setelah dilucut hak pada Ahad.
Sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara dan mencandat sotong tanpa kebenaran pada tahun lalu dimusnahkan setelah dilucut hak pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu melupuskan sebuah bot nelayan Vietnam yang dilucut hak pada Ahad.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, proses pelupusan bot berkenaan dilakukan menggunakan kaedah hancur musnah kerana bot berkenaan mengalami kerosakan teruk dan tidak sesuai dijadikan tukun tiruan.

"Bot yang dimusnahkan kali ini adalah bot nelayan asing Vietnam yang telah ditahan pada tahun lepas kerana menceroboh perairan dan mencandat sotong tanpa kebenaran.

"Ia ditahan kerana menceroboh perairan negara di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Proses pelupusan menggunakan kaedah hancur musnah kerana bot berkenaan tidak sesuai dijadikan tukun tiruan.
Proses pelupusan menggunakan kaedah hancur musnah kerana bot berkenaan tidak sesuai dijadikan tukun tiruan.

Menurut Muhammad Suffi, bot berkenaan bersama enam kru ditahan pada kedudukan 112 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 3 April 2021.

Katanya, kesemua nelayan asing terbabit dikenakan denda berjumlah RM2.1 juta, namun masing-masing memilih untuk dipenjarakan antara lima hingga tujuh bulan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa tegas dalam melaksanakan undang-undang khususnya di perairan Terengganu demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan negara terpelihara.

"Kita harap masyarakat terutama komuniti maritim dapat memberikan kerjasama untuk melaporkan sebarang maklumat berkenaan perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999," katanya.