Pelakon terlibat kes pukul dibebaskan dengan jaminan polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pelakon lelaki tempatan yang diberkas selepas dipercayai memukul seorang individu di sebuah kondomoniun di Sentul Khamis dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, Beh Eng Lai berkata, pelakon berumur 30-an itu sebelum ini telah direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Suspek yang juga penghuni di kondominium sama diberkas selepas disyaki menumbuk dan menendang mangsa dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu.

"Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas polis selesai merekod keterangan daripadanya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Khamis, seorang pelakon ditahan reman tiga hari bermula Sabtu hingga Isnin bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul di sebuah kondominium di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pelakon lelaki berusia 30-an berkenaan yang juga penghuni di kondominium sama disyaki menumbuk dan menendang mangsa dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu.