12 juta pengembara guna laluan darat antara Malaysia- Singapura

Statistik purata masuk dan keluar warganegara Malaysia dan pengembara di CIQ BSI adalah seramai 138,000 orang sehari manakala di CIQ KSAB pula 28,000 orang. Gambar kecil: Onn Hafiz
Statistik purata masuk dan keluar warganegara Malaysia dan pengembara di CIQ BSI adalah seramai 138,000 orang sehari manakala di CIQ KSAB pula 28,000 orang. Gambar kecil: Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai lebih 12 juta pengembara masuk dan keluar ke negara ini menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sejak sempadan negara dibuka pada 1 April sehingga Selasa lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah itu direkodkan melalui pintu masuk utama negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar ( KSAB) Gelang Patah.

Menurutnya, berdasarkan angka itu seramai 6.3 juta warganegara dan 2.3 juta warga asing menggunakan laluan CIQ BSI manakala 2.7 juta warganegara dan 704,000 warga asing melalui CIQ KSAB.

"Dalam tempoh yang sama, statistik purata masuk dan keluar warganegara Malaysia dan pengembara di CIQ BSI adalah seramai 138,000 orang sehari manakala di CIQ KSAB pula 28,000 orang.

"Di kedua-dua pintu masuk itu, pihak Jabatan Imigresen Malaysia menugaskan seramai 1,631 anggota, 722 kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), 87 kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 206 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan, Chen Kah Eng (Pakatan Harapan-Stulang) berkaitan keadaan CIQ BSI dan KSAB sejak sempadan negara dibuka pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor ke-15 pada Isnin.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, kerajaan negeri menjangkakan laluan di kedua-dua lokasi terbabit mengalami peningkatan mendadak.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 284 kaunter keluar dan masuk beroperasi di CIQ BSI dan 169 kaunter lagi di CIQ KSAB

"Antara inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan ialah menambah lorong motosikal daripada 50 lorong kepada 75 lorong dan setiap satu berserta kaunter hybrid.

"Di lorong kereta pula, kerajaan akan laksanakan sistem 'Single Loading Double Capacity' bagi menjimatkan masa pemandu di kaunter.

"Penggabungan kemudahan Touch 'n Go di kaunter Imigresen bagi laluan kereta sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Februari 2023," jelasnya.