Kedah di landasan tepat nikmati kemajuan ekonomi: MB

Muhammad Sanusi menyampaikan ucapan sembah sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit,di sini pada Ahad.
Muhammad Sanusi menyampaikan ucapan sembah sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit,di sini pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR – Kedah berada dalam landasan yang tepat untuk terus berkembang dan menikmati kemajuan berdasarkan kemasukan pelaburan ke negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara indikator yang boleh dibanggakan ialah Kedah telah menerima pelaburan dengan nilai yang diluluskan sebanyak RM68.3 bilion pada 2021.

Bagi Muhammad Sanusi, ini pencapaian yang amat luar biasa bagi Kedah apabila jauh mengatasi negeri lain yang sudah sedia maju dan dikenali sebagai negeri industri dan apa yang dicapai juga merupakan satu rekod cemerlang dalam sejarah ekonomi negara.

Katanya, setakat suku kedua tahun ini pula Kedah telah menerima nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM20 bilion dan angka itu melepasi sasaran RM10 bilion pelaburan tahunan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

Muhammad Sanusi berkata sedemikian ketika menyampaikan ucapan sembah sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit,di sini pada Ahad.

Beliau juga selaku Ketua Eksekutif kerajaan Tuanku berasa amat bertuah berada di bawah naungan nasihat dan tunjuk ajar Sultan Sallehuddin.

“Dengan itu, patik bersama seluruh anggota kerajaan Tuanku serta pegawai-pegawai tadbir berikrar akan terus bekerja keras berusaha membawa kemakmuran dan kesejahteraan dalam kehidupan seluruh 2.3 juta rakyat,” katanya.

Ujarnya, paling membanggakan bagi kerajaan Tuanku ialah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah berangkat merasmikan operasi kilang pemasangan kenderaan Porsche di Kulim pada 28 Mac 2022.

“Kilang di Kawasan Perindustrian Padang Meiha ini adalah yang pertama bagi Porsche AG di luar Eropah. Selain Porsche, firma AT&S dari Austria juga telah memuktamadkan pelaburan RM8.5 bilion untuk membuka kilang papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu di Kulim Hi-Tech Park (KHTP),” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menambah, jika dinilai dari segi angka komitmen pelaburan dan juga nilai yang diunjurkan, dalam jangka pendek ia mungkin tidak mampu untuk memperlihatkan kesan perubahan bagi kehidupan rakyat.

Namun beliau menjelaskan, apa yang lebih penting ialah keyakinan yang ditunjukkan oleh komuniti industri dari dalam dan luar negara terhadap apa yang ada di negeri ini.

"Keyakinan komuniti pelabur ini juga pada hemat patik adalah cerminan pada nilai integriti yang sentiasa diberikan penekanan dalam setiap peringkat urus tadbir Tuanku,” katanya.