JKN Terengganu sasar 20,000 beg darah tahun ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu melalui Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menyasarkan kutipan sebanyak 20,000 beg darah pada tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu berikutan negara telah memasuki peralihan ke fasa endemik yang membolehkan lebih banyak program derma darah dijalankan berbanding ketika pandemik Covid-19 berlaku dua tahun lepas.

"Semangat perpaduan yang utuh dan sikap cakna prihatin yang tinggi dalam kalangan masyarakat di Terengganu terbukti sepanjang pandemik Covid-19 kerana bekalan darah kita kekal cukup dan stabil, malah kita juga mampu membantu rakan-rakan di negeri lain yang mengalami kekurangan kritikal bekalan darah.

"Sebanyak 1,000 beg darah berjaya kami salurkan ke beberapa negeri termasuk Johor, Kuala Lumpur hingga ke Sabah. Walaupun pada masa itu kami tidak boleh ke sana ke sini kerana Perintah Kawalan Pergerakan, namun darah kami telah jauh bergerak merentasi sempadan ke seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan Ahad.

Beliau berkata sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2022 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Kuala Terengganu pada Sabtu, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti Doktor Muda, Saintis Muda, Pameran dan Kuiz Derma Darah.

Dr Kasemani berkata, jabatan sentiasa mengadakan kempen meningkatkan kesedaran derma darah dalam kalangan masyarakat terutamanya kepada generasi muda bagi memastikan bekalan darah negara khususnya di Terengganu sentiasa mencukupi.

"Pendermaan darah adalah satu prosedur yang selamat. Ia amat penting kerana membantu menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Secara puratanya negeri kita memerlukan sebanyak 50 beg darah setiap hari.

"Orang ramai perlu mengamalkan gaya hidup sihat, kekal aktif dan tidak lagi teragak-agak atau takut untuk tampil menderma darah, terutamanya apabila kita telah memasuki fasa peralihan endemik. Kementerian Kesihatan Malaysia terus komited dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi, selamat dan berkualiti untuk kegunaan pesakit yang memerlukan," katanya. - Bernama