Polis panggil penganjur perhimpunan Majlis Peguam minggu depan

Lebih 200 individu menyertai Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok pada Jumaat. (Gambar kecil: Noor Dellhan)
Lebih 200 individu menyertai Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok pada Jumaat. (Gambar kecil: Noor Dellhan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak penganjur Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman yang hadir ke himpunan di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini pada Jumaat akan dipanggil untuk dirakam keterangan minggu depan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dianggarkan seramai 220 individu terdiri daripada ahli Majlis Peguam hadir pada perhimpunan tersebut dan pihaknya telah mengenal pasti individu yang akan dipanggil.

"Kita telah kenal pasti individu yang akan dipanggil termasuk semua penganjur yang hadir pada perhimpunan terbabit.

"Kesemua mereka akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada minggu hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan pihak polis telah mengenal pasti beberapa individu yang akan dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 15 (3) Akta Perhimpunan Aman 2012, Peraturan 6 dan Peraturan 7.

Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam berkenaan dianjurkan untuk menuntut agar badan kehakiman negara terus bebas daripada pengaruh mana-mana pihak.

Perhimpunan tersebut bermula dengan ucapan daripada beberapa pemimpin Majlis Peguam pada jam 10 pagi sebelum mereka cuba berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, pergerakan mereka tidak dibenarkan sebelum rundingan selama beberapa minit dilakukan oleh pihak Majlis Peguam bersama polis.

Memorandum itu kemudiannya diserahkan kepada Mas Ermieyati yang hadir ke Padang Merbok di sini kira-kira jam 11 pagi.