Johor kenal pasti punca 30 koperasi gulung tikar

Mohd Hairi (tengah) menyampaikan Anugerah Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad selepas merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Johor di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada Sabtu.
Mohd Hairi (tengah) menyampaikan Anugerah Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad selepas merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Johor di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan mengenal pasti dan mencari punca 30 koperasi di negeri ini yang terpaksa gulung tikar dari awal tahun lalu hingga kini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, antara koperasi yang terjejas teruk adalah perniagaan dalam sektor perhotelan dan inap desa.

Menurutnya, kira-kira 30 daripada 1,456 koperasi di Johor terpaksa menutup operasi mereka ketika tempoh genting pandemik Covid-19.

"Saya dan pengarah koperasi negeri akan turun padang memantau dan mengenal pasti semula apa punca mereka sehingga terpaksa gulung tikar.

"Selepas kajian dan dapatan diperoleh dalam tahun ini, pihak kerajaan akan cuba membantu koperasi terlibat," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat Johor sempena sambutan 100 tahun Gerakan Koperasi di Angsana Johor Bahru Mall di sini pada Sabtu.

Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong dan membantu usaha menggalakkan perkembangan gerakan koperasi di negeri ini untuk terus konsisten, berkembang maju dan cemerlang.

"Pada tahun lalu kerajaan negeri meluluskan Bantuan Prihatin Koperasi berjumlah RM1.5 juta dan faedahnya telah dinikmati 299 buah koperasi di bawah kluster kecil dan mikro.

"Sementara di bawah Program Pembangunan Ekonomi Setempat yang diurus oleh Perbadanan Usahawan Negeri Johor (PUJB), sebanyak 18 permohonan telah diluluskan dengan keseluruhan dana berjumlah RM365,014," katanya.

Tambah beliau, terdapat lebih 460,000 anggota koperasi di negeri ini sekali gus merupakan satu jumlah besar dan mampu mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh serta mampan.

"Kita berharap dengan pembukaan pintu sempadan Johor-Singapura, ianya dapat mengembalikan semula pertumbuhan ekonomi Johor.

"Saya juga berharap gerakan koperasi di negeri ini terus mengambil bahagian yang signifikan dalam pertumbuhan ekonomi," katanya.