Jangan biar aktiviti penyeludupan PATI kembali berleluasa

Masalah proses kemasukan pekerja asing yang semakin kritikal di negara ini ternyata memberi impak kepada beberapa industri penting. - Foto 123rf
Masalah proses kemasukan pekerja asing yang semakin kritikal di negara ini ternyata memberi impak kepada beberapa industri penting. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah proses kemasukan pekerja asing yang semakin kritikal di negara ini ternyata memberi impak kepada beberapa industri penting seterusnya menyebabkan kerugian kepada para majikan serta penjanaan pendapatan itu sendiri.

Apa yang membimbangkan, sekiranya masih belum ada penyelesaian terhadap perkara ini, kemungkinan besar majikan terpaksa menggunakan saluran aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyebabkan aktiviti haram itu berleluasa semula.

Pada Jumaat, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abdul Rahman Syed Abdul Rashid berkata, kerajaan digesa menyemak semula dan memudahkan proses kemasukan pekerja asing di negara ini.

Beliau berkata, ia berikutan urusan menguruskan kemasukan pekerja asing terlalu sukar sehingga menyebabkan prosesnya menjadi lambat.

Dalam pada itu, semakin hari, permintaan pekerja asing akan meningkat dan menjadikan situasi tersebut semakin teruk.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman pada Jumaat memaklumkan bahawa majikan pelbagai sektor di negara ini antaranya perladangan, pembuatan, perkhidmatan, pelancongan dan pembinaan masih berhadapan dengan kekurangan pekerja asing walaupun kerajaan telah mengumumkan kemasukan tenaga pekerja asing bermula Oktober tahun lalu.

Ujar beliau, sebagai contoh di sektor perladangan yang mengalami kekurangan kira-kira 72,000 pekerja, kini berdepan kerugian mencecah RM30 bilion.

Sebanyak 14,000 permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor pembinaan telah diluluskan kerajaan. - Gambar hiasan
Sebanyak 14,000 permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor pembinaan telah diluluskan kerajaan. - Gambar hiasan

Selain itu, tambahnya, sektor pembuatan pula menghadapi kekurangan kira-kira 40 peratus tenaga kerja dan perkara itu menyebabkan majikan terpaksa menolak tempahan diterima kerana tidak mempunyai jumlah pekerja yang mencukupi.

Lebih mengejutkan lagi, pada Jumaat, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzil Hassan berkata, sektor pembinaan memerlukan lebih lima juta pekerja asing bagi memenuhi keperluan syarikat kontraktor yang semakin rancak membangunkan projek seluruh negara.

Menurutnya, ketika ini sudah timbul isu ‘curi’ pekerja dalam kalangan syarikat kontraktor dengan menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja asing.

Melihat kepada perkara tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa para majikan berada dalam keadaan tertekan dan terdesak memerlukan kemasukan pekerja asing.

Pada Jumaat, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan supaya membenarkan proses temu duga majikan memohon untuk mendapatkan pekerja asing dijalankan di negeri-negeri bagi mempercepatkan kelulusan dan kemasukan kumpulan berkenaan ke negara ini.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan kesesakan permohonan pekerja asing yang hanya dilaksanakan di Putrajaya sahaja ketika ini.

Justeru itu, tindakan alternatif perlu dilaksanakan dengan segera dan kerajaan sudah tentu perlu pertimbangkan setiap saranan daripada pihak-pihak berkepentingan.

Jika ia sesuai dilaksanakan maka, ia perlu dilakukan dengan kadar segera bagi membantu semua sektor industri di negara ini beroperasi seperti sedia kala.