Tujuh pelatih dikenal pasti sertai Projek B10

Pekan bersama para atlet yang menyertai sesi ujian Projek B10.
Pekan bersama para atlet yang menyertai sesi ujian Projek B10.
A
A
A

TUJUH pelatih pecut dikenal pasti untuk diserapkan ke dalam program khas ‘Projek B10’ atau projek larian bawah 10 saat anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selepas tiga sesi ujian kelayakan.

Pengerusi Jawatankuasa Panel Pemilihan 'Projek B10' KPT, Dr Pekan Ramli berkata, panel jawatankuasa akan memperhalusi senarai pelatih berkenaan sebelum pengumuman rasmi dibuat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Pada sesi ujian pemilihan ketiga di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini jelasnya, kira-kira 20 pelatih dari Sekolah-sekolah Sukan Malaysia (SSTMI) dan Sekolah Sukan Negeri (Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka) hadir menjalani ujian ditetapkan panel kejurulatihan projek itu.

“Hasil penilaian dan rumusan mendapati terdapat tiga lagi calon pelatih diperoleh selepas ujian di Johor Bahru, Johor (satu calon layak) dan Kangar, Perlis (tiga calon layak) diadakan sebelum ini. Bagaimanapun nama pelatih hanya akan diumumkan Datuk Seri Dr Noraini nanti.

“Sesi ujian di UPM ini agak menarik dan kita melihat kesungguhan tinggi bakal pelatih dalam beberapa sesi ujian dilakukan. Jika mereka boleh melepasi had kelayakan yang mencabar ini, ia satu petanda sangat baik untuk mereka digilap maju, kita juga utamakan kualiti dan bukan kuantiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Program khas itu yang diangkat sebagai ‘Program Bitara’ iaitu projek berimpak tinggi oleh KPT dilancarkan Noraini pada November tahun lalu.

Ia adalah projek jangka panjang yang mengambil masa antara satu hingga lima tahun bagi melahirkan pelari pecut pertama negara yang mampu berlari dengan catatan masa di bawah 10 saat.

Program dengan kerjasama Pusat Sukan Tumpuan (PST) Olahraga UPM itu menggunakan khidmat kepakaran jurulatih olahraga terkemuka negara seperti Manshahar Abdul Jalil, Nazmizan Muhammad, Hamberi Mahat, Jad-Adrian Washif, Tan Kok Lim dan ramai lagi.