Bapa tumbuk, tendang anak dipenjara

Mohd Nizam dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana menumbuk dan menendang anak lelakinya berusia 7 tahun.
Mohd Nizam dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana menumbuk dan menendang anak lelakinya berusia 7 tahun.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Hanya kerana sebiji burger, seorang lelaki tergamak menumbuk dan menendang anak kandung berusia tujuh tahun yang menghabiskan makanan segera itu, bulan lalu.

Perbuatan kejam lelaki itu akhirnya dibalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh seorang penganggur, Mohd Nizam Ramli, 42, yang mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati secara sengaja mendatangkan cedera terhadap anak lelakinya berusia 7 tahun dengan cara menumbuk dan menendang mangsa di bahagian muka kira-kira jam 7 pagi di sebuah rumah di Jalan Semabok, Jambatan Duyong di sini, 28 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan hukuman dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan iktibar terhadap tertuduh dan masyarakat.

Nazrin kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh dari tarikh ditangkap iaitu 4 Mac lalu.

"Hukuman ini dibuat setelah mengambil kira kecederaan dialami mangsa dan kes keganasan rumah tangga yang dilihat semakin merunicng," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, dalam prosiding di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Teoh Shu Yu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini mengikut seksyen sama selepas didapati bersalah menumbuk muka dan kepala isterinya, Saaedah Nordin, 35, kira-kira jam 3 pagi di lokasi dan tarikh sama.