Pesara wanita rugi RM134,503 ditipu 'pegawai bank'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pesara wanita kerugian sebanyak RM134,503 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, mangsa yang berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank.

Menurutnya, suspek memberitahu kononnya kad kredit milik mangsa telah digunakan untuk pembelian wang digital (bitcoin) melalui tiga transaksi berjumlah RM15,991.

"Mangsa telah menafikan penggunaan kad kredit tersebut kerana tidak mempunyai akaun bitcoin, namun panggilan telefon mangsa telah disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang mendakwa pegawai dari Bank Negara.

"Lelaki terbabit telah meminta mangsa memberikan maklumat perbankan (username dan kata laluan) untuk tujuan siasatan. Mangsa yang ketakutan telah memberikan kepada suspek semua butiran seperti yang diminta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kira-kira jam 9 malam hari sama, mangsa telah menerima mesej dari pihak bank yang memaklumkan bahawa terdapat pengeluaran wang berjumlah RM134,503 dari tiga akaun bank miliknya.

"Menyedari dirinya ditipu, mangsa telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.