Tuduh Rina lindungi Rumah Bonda, KPWKM buat laporan polis

Tindakan penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke atas Rumah Bonda telah dimulakan sejak Julai 2021. - Gambar fail
Tindakan penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke atas Rumah Bonda telah dimulakan sejak Julai 2021. - Gambar fail
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membuat laporan polis berhubung dakwaan Menterinya, Datuk Seri Rina Harun bersubahat melindungi Rumah Bonda.

KPWKM menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

"Tindakan mengeluarkan kenyataan berunsurkan fitnah dengan tujuan menjatuhkan reputasi dan menangguk di air yang keruh adalah tidak wajar pada waktu perbicaraan kes Bella masih lagi berjalan di mahkamah," katanya.

Menurut kenyataan itu, KPWKM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.

"Satu perbincangan lanjut dengan Jabatan Peguam Negara berhubung perkara tersebut akan diadakan," katanya.

Memperincikan lebih lanjut, kementerian itu berkata, tindakan penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke atas Rumah Bonda telah dimulakan sejak Julai 2021.

"Berdasarkan siasatan, Rumah Bonda merupakan premis yang tidak berdaftar dengan JKM di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta yang sama.

"Susulan daripada itu, tindakan terhadap premis berkenaan telah diambil pada 12 Julai 2021 selaras dengan Seksyen 16A Akta 506," katanya.

Ujar KPWKM, kertas siasatan juga telah dibuka dan tindakan kompaun telah diambil selaras dengan seksyen 21A akta sama dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan (Pengkompaunan Kesalahan) 2011 serta dibuat dengan keizinan pendakwa raya berdasarkan fakta-fakta kes yang jelas.

"Kompaun RM5,000 yang dikenakan terhadap pengendali Rumah Bonda adalah amaun kompaun maksimum yang boleh dikenakan di bawah akta tersebut.

"Sekiranya kompaun tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan, pendakwaan di mahkamah boleh dibuat yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan," katanya.