JKM sita Rumah Bonda

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini menyita sebuah rumah kebajikan yang dikenali Rumah Bonda.

Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh berkata, tindakan tersebut dilakukan susulan laporan berkaitan seorang anak istimewa dikenali Adik Bella, 13, yang dipercayai didera di rumah berkenaan.

Menurutnya, rumah kebajikan itu didapati tidak berdaftar dengan pihak JKM.

“Buat masa ini, kita telah lakukan langkah proaktif di mana kita dapati Rumah Bonda ini melakukan pelanggaran syarat dalam menentukan premis pengoperasian sebagai pusat jagaan.

“Tindakan sita ini kekal sehingga adanya perintah mahkamah untuk membukanya. Kalau ada perintah, baru dibenarkan untuk dibuka.

“Seterusnya, mereka perlu dapatkan kelulusan daripada agensi bomba, Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum membuat permohonan kepada kita. Kalau sudah sesuai untuk beroperasi, baru akan dibuka semula sita ini,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai penghuni lain, Samsuzuki berkata, terdapat 19 individu yang berada di rumah kebajikan tersebut dan telah disantuni dengan diberi pilihan kembali kepada keluarga masing-masing.

Tambah beliau, JKM turut menyediakan Rumah Sinar Kasih di Batu Gajah, Perak sekiranya keluarga tidak menerima mereka.

Artikel Berkaitan:

“Penghuni Rumah Bonda difahamkan ada juga dalam kalangan remaja yang terlanjur, mengandung dan melahirkan anak.

“Daripada 19 ini, ada keluarga yang sudah mengambil semula, ada juga pergi ke saudara mara dan ada juga ke rumah pertubuhan bukan kerajaan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Terdapat enam kanak-kanak atau bayi di sini. Adik Bella ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Negeri Sembilan manakala lima lagi di rumah kanak-kanak,” ujarnya.

Menurut Che Samsuzuki, kes berkaitan Adik Bella diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat dan membuat tindakan.

Tambah beliau, hasil temu bual bersama pengasas Rumah Bonda, didapati bahawa Adik Bella seorang yang degil dan tidak mendengar kata.

“Adik Bella ini dikatakan suka kacau orang lain dan JKM dimaklumkan kesan di tangannya adalah disebabkan tumpahan air panas. Apabila hampir sembuh, Adik Bella suka mengopek kuping luka itu.

“JKM telah mengesyaki dari awal lagi kerana mereka tidak membawa Adik Bella ke hospital kerajaan. Mereka hanya buat pemeriksaan di hospital swasta dan klinik biasa sahaja,” katanya.