‘Kebebasan kehakiman terhakis sejak 1988, perlu masa untuk pulih’

Chin Huat ketika ditemui semasa Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok pada Jumaat.
Chin Huat ketika ditemui semasa Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha memulihkan kebebasan badan kehakiman negara memerlukan masa yang panjang selepas ia didakwa mula terhakis ekoran krisis sistem kehakiman pada tahun 1988.

Saintis politik dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, adalah penting untuk masyarakat terutamanya komuniti peguam untuk mengambil sebarang langkah bagi mempertahankan institusi berkenaan.

“Saya rasa penting kerana (kebebasan) kehakiman kita telah terhakis sejak tahun 1988. Ia mengambil masa yang panjang untuk pulih.

“Ini bukan bermaksud bahawa hakim tidak boleh disiasat dan sebagainya. Tetapi nyata sekali apa yang kita lihat satu kempen tohmahan untuk menakut-nakutkan hakim,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok pada Jumaat.

Pada tahun 1988, badan kehakiman negara berhadapan dengan krisis ekoran pemecatan Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara selepas peristiwa pengharaman UMNO.

Kesan peristiwa itu juga menyaksikan berlakunya pindaan terhadap Perlembagaan yang menghadkan kuasa mahkamah.

Pada 2007, isu kebebasan badan kehakiman sekali lagi diuji dengan penyebaran sebuah rakaman video tulen menunjukkan perbualan yang mendedahkan campur tangan seorang peguam di dalam negara dalam pelantikan hakim.

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat pada April lalu memaklumkan kritikan terhadap badan kehakiman sudah melampaui batas selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Siasatan itu berhubung catatan sebuah blog politik yang mendakwa Mohd Nazlan yang juga bekas hakim Mahkamah Tinggi itu mempunyai kekayaan tidak dapat dijelaskan.

Tengku Maimun berkata, walaupun rakyat termasuk ahli politik bebas mengkritik badan kehakiman pada tahap tertentu, tidak bermakna mereka boleh melakukan serangan tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu demi kepentingan sendiri.

Ketika berkhidmat sebagai hakim mahkamah tinggi, Mohd Nazlan mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, perkembangan dalam isu kehakiman negara itu mengingatkan rakyat berkenaan kepentingan memastikan kebebasan badan kehakiman tanpa mengira kerajaan yang memerintah.

Katanya, kegagalan untuk memastikan perkara itu bakal menyebabkan rakyat semakin terdedah kepada pelaksanaan sistem keadilan yang bersifat ‘dua darjat’.

“Dua darjat itu tidak semestinya antara orang kaya atau orang miskin tetapi juga orang yang ada ada ‘kabel’ dan yang tiada ‘kabel’. ‘Kabel’ itu mungkin ‘kabel’ politik, ekonomi dan sebagainya,” ujarnya.