LDH anjur RFCA 2022, kumpul dana

Salah satu acara larian amal yang diadakan oleh LDH sebelum ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Salah satu acara larian amal yang diadakan oleh LDH sebelum ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Lovely Disabled Home (LDH) akan menganjurkan program larian amal ‘Run For A Chance 2022’ (RFCA) kali ke-6 secara fizikal dan maya antara 31 Ogos hingga 16 September 2022 bagi mengumpul dana RM200,000.

LDH dalam satu kenyataan berkata, dana itu akan digunakan untuk kos perbelanjaan dan pengurusan Bengkel LDH pada tahun 2023, termasuklah gaji anggota-anggota dan pengajar, makanan, kos latihan, utiliti serta kos membaik pulih.

Menurut kenyataan itu, larian itu diadakan untuk menyemai kesedaran mengiktiraf keperluan komuniti orang kurang upaya (OKU) dan menggalakkan penyertaan daripada orang ramai dan komuniti itu.

“Larian RFCA 2022 akan diadakan di tiga bandar berbeza untuk larian fizikal iaitu di Kuala Lumpur pada 16 September, Taiping, Perak pada 4 September dan Johor Bahru pada 10 September.

“Untuk larian maya pula, peserta boleh melakukan larian tiga kilometer (km) atau 30km di mana-mana lokasi dalam tempoh yang tertentu iaitu antara 31 Ogos hingga 16 September 2022.

“Peserta yang menghabiskan larian boleh memuat naik rekod larian ke laman pendaftaran dan bersedia menerima medal dan t-shirt hasil dari larian,” jelas kenyataan itu pada Jumaat.

Beberapa kanak-kanak dari LDH sedang menyiapkan stoking LDH yang akan diberikan secara percuma kepada 1,000 peserta terawal yang mendaftar untuk menyertai larian itu.
Beberapa kanak-kanak dari LDH sedang menyiapkan stoking LDH yang akan diberikan secara percuma kepada 1,000 peserta terawal yang mendaftar untuk menyertai larian itu.

Menurut kenyataan itu, yuran pendaftaran untuk RFAC2022 ialah RM70, kini menawarkan harga ‘early bird’ iaitu RM55 bagi peserta yang mendaftar sebelum 31 Mei lepas.

Bagi menggalakkan golongan OKU menyertai larian itu, mereka boleh mendaftar dengan kadar diskaun RM30 sahaja manakala seramai 1,000 pendaftaran pertama akan diberikan sepasang stoking LDH berharga RM15 secara percuma.

Sementara itu, Pengasas LDH, Lum Kok Kiang berkata, orang ramai dapat mengambil peluang itu untuk menyumbang kepada golongan kurang berkemampuan serta membantu mereka mengatasi cabaran yang dihadapi.

“Saya berharap warga OKU dapat memperkukuh diri untuk berinteraksi dengan masyarakat melalui larian amal ini,” katanya.

LDH dibina pada November 2005 dan terletak di Petaling Jaya, Selangor merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang menyediakan persekitaran kerja untuk golongan OKU, terutamanya kanak-kanak supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran luar dan mampu berdikari.