Penumpang wanita maut bas persiaran rempuh belakang treler

A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang wanita maut apabila bas persiaran dinaikinya merempuh belakang sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 425.8 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke selatan awal pagi Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Hamaizah Fadzilah, 54, dipercayai duduk di bahagian kerusi penumpang hadapan bas berkenaan.

"Pihak bomba menerima panggilan pada jam 4.32 pagi dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Bukit Sentosa kemudiannya dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 4.54 pagi.

"Mangsa yang merupakan wanita warga tempatan itu didapati tersepit di bahagian tempat duduk penumpang yang remuk di bahagian hadapan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan kerja mengeluarkan mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu bas dan treler serta penumpang lain bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu bas dan penumpang lain berjaya keluar dari bas tersebut dan berkumpul di lokasi selamat," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung kejadian ini.