Tiga pembantu rumah dakwa dipukul Tan Sri, Puan Sri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga pembantu rumah warga asing mendakwa dipukul majikan mereka bergelar Tan Sri dan Puan Sri di sebuah banglo di Kajang, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, wanita berusia 25 hingga 41 tahun itu kemudiannya bertindak melarikan diri Jumaat lepas untuk mendapatkan pertolongan di kedutaan mereka.

"Ketiga-tiga mangsa yang bekerja di rumah suspek antara enam bulan hingga tujuh tahun mendakwa pernah dipukul dengan cara ditampar dan ditumbuk.

"Selain itu, gaji mereka tidak dibayar selama bekerja dan tidak dibenarkan pulang ke Indonesia kerana pasport disimpan oleh majikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di kediaman suspek, polis merampas dua pasport serta i-kad pekerja asing.

Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Kajang untuk pemeriksaan dan kini berada di rumah perlindungan setelah polis menerima Perintah Perlindungan Sementara (IPO) daripada Majisret Kajang.

Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan, katanya, dan menambah, kes di siasat dibawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.- Bernama

Artikel Berkaitan: