Sultan Sharafuddin puji Lam Thye, tunjuk ciri sebenar wakil rakyat

Sultan Sharafuddin bertitah pada Pelancaran Buku Biografi Tan Sri Lee Lam Thye pada Khamis. - Foto Bernama
Sultan Sharafuddin bertitah pada Pelancaran Buku Biografi Tan Sri Lee Lam Thye pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis memberi penghormatan kepada aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye terhadap perjalanan politiknya kerana dilihat telah menunjukkan ciri-ciri sebenar seorang wakil rakyat.

Baginda bertitah, baginda melihat sendiri betapa khidmat Lam Thye yang mengagumkan selama bertahun-tahun berkhidmat kepada rakyat, daripada menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Nenas pada 1969 sehingga kepada Ahli Parlimen Bukit Bintang.

"Lam Thye sememangnya adalah Y.B. (wakil rakyat) sebenar yang juga boleh diterjemahkan sebagai Yang Bekerja atau Yang Berkhidmat. Sesungguhnya Yang Bekerja dan Yang Berkhidmat yang sebenar untuk rakyat.

"Tidak guna jadi YB dengan gelaran Yang Berhormat tetapi tidak menjalankan tugas dengan baik, hanya bercakap sahaja dan pentingkan diri sendiri,” titah baginda semasa berucap di majlis pelancaran buku bertajuk ‘Call Lee Lam Thye - Recalling a Lifetime of Service’ di sini pada Khamis.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda gembira Lam Thye masih terus berkhidmat kepada rakyat dan membantu orang ramai menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) walaupun dia tidak lagi menjadi ahli parti politik.

Sultan Sharafuddin berharap Lam Thye akan berkongsi kisah-kisahnya serta mendedahkan punca sebenar beliau mengambil keputusan untuk bersara daripada politik pada 1990.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda kagum dengan kebolehan dan kredibiliti yang dimiliki Lam Thye sebagai wakil rakyat sehingga beliau sanggup turun padang dan sentiasa bersedia untuk mendengar masalah serta keluhan rakyat.

Baginda bertitah, Lam Thye seorang yang arif dalam pelbagai perkara dan sentiasa membuat ulang kaji sebelum bercakap mengenai sesuatu isu, khususnya melibatkan kehidupan harian rakyat.

Selain itu baginda bertitah, Lam Thye turut mengambil berat soal haiwan jalanan dan terbiar sehingga menjadi penaung Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor.

Titah baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut sering memuji dan menghormati usaha Lam Thye dalam menjaga kebajikan haiwan terbiar. - Bernama