Kerajaan optimis capai sasaran sifar miskin tegar 2025

Mustapa - Foto Bernama
Mustapa - Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Kerajaan optimis untuk mencapai matlamat membasmi miskin tegar secara keseluruhan (sifar) di negara ini seperti dirancang pada Disember 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, keyakinan itu disandarkan kepada pendekatan baharu melibatkan tindakan bersepadu semua pihak terlibat dan pemantauan berterusan bagi memastikan tiada yang tercicir dalam mencapai inisiatif tersebut.

"Negara China, dengan 1.4 bilion penduduk pada Februari tahun lepas sudah umumkan mereka bebas daripada miskin tegar. Kita ada rekod prestasi yang baik dalam mengurangkan kadar miskin tegar di negara ini melalui pelbagai pendekatan. Jadi kita boleh capai kerana kita ada sasaran.

"Pendekatan kali ini lebih baik kerana semakin banyak penjelasan yang kita buat dan pantau. Inisiatif membasmi kemiskinan merupakan satu daripada 17 Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (dalam mencapai negara maju).

"Ini bermakna seluruh dunia komited untuk menghapuskan kemiskinan," katanya selepas menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama di antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) di Dewan Merdeka di sini pada Khamis.

Dilapor pada Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) sedang melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bertujuan menghapuskan miskin tegar pada 2025.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Unit Kemiskinan khusus ditubuhkan di EPU di negeri dan daerah di seluruh negara menerusi agenda membasmi kemiskinan.

Mustapa berkata, ketika ini terdapat 166,000 keluarga miskin tegar di Malaysia, berbanding 251,089 keluarga pada Februari yang didaftarkan mengikut Pendapatan Garis Kemiskinan 2019 per kapita negeri.

Artikel Berkaitan:

"Ia semakin berkurangan. Apa yang penting, kita sediakan taraf hidup yang selesa dan pastikan tiada yang tercicir (menerusi BMTKM)," jelasnya.

Menyentuh program pada Khamis, beliau berkata, NCIA akan membimbing KOALKB untuk membina keupayaan komuniti Orang Asli di Lata Kinjang sebagai projek perintis pembasmian kemiskinan di kalangan mereka.

"Lata Kinjang berpotensi besar untuk dibangunkan kerana terkenal dengan aktiviti perkelahan, laluan denai, selain dilengkapi dengan penginapan dan kemudahan menarik. Ia boleh lebih maju apabila diuruskan KOALKB selain menjana pendapatan untuk Orang Asli," katanya. - Bernama