Sabak Bernam berpotensi jadi pengeluar air nira kelapa terbesar

Amri (tengah) menunjukkan air nira pada Majlis Perasmian Selangor Agro Green Peringkat Daerah Sabak Bernam di Dewan Tun Razak, di Sabak Bernam pada Khamis.
Amri (tengah) menunjukkan air nira pada Majlis Perasmian Selangor Agro Green Peringkat Daerah Sabak Bernam di Dewan Tun Razak, di Sabak Bernam pada Khamis.
A
A
A
SABAK BERNAM - Sabak Bernam mempunyai potensi untuk menjadi pengeluar utama bagi penghasilan air nira kelapa terbesar di pantai barat semenanjung terutama di Selangor.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail berkata, permintaan tinggi di pasaran membolehkan air nira dijual memandangkan terdapat lebih 2,000 pengusaha tanaman kelapa di daerah terbabit.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini terdapat tiga pengusaha dibimbing Jabatan Pertanian Daerah Sabak Bernam yang mengusahakan air nira bagi tujuan pemasaran.

"Sepatutnya air nira di Sabak Bernam sudah lama memasuki pasaran memandangkan di sini ramai penanam pokok kelapa yang kebiasaannya menjual kelapa dan santan.

"Kita mahu mereka mencuba potensi baharu dengan mengambil air nira kelapa untuk pasaran di pantai barat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Selangor Agro Green Peringkat Daerah Sabak Bernam di Dewan Tun Razak di sini pada Khamis.

Amri berkata, pasaran air nira jika diusahakan secara bersungguh-sungguh juga mampu memberi pulangan lumayan.

Katanya, harga air nira di daerah itu hanya RM5 sebotol, namun meningkat kepada RM10 sebotol jika dijual di Lembah Klang.

"Saya difahamkan mayang satu pokok kelapa mampu menghasilkan 2.3 liter sehari, jika membabitkan sebanyak 10 pokok selama 30 hari purata pengusaha mampu memperoleh RM6,900 pendapatan sebulan," ujarnya.

Jelas beliau, pada masa ini lebih banyak kempen promosi dijalankan bagi menarik orang ramai untuk mencuba sendiri keenakan air nira.

"Kita dalam fasa secara berperingkat untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan untuk permulaan ia menjadi projek perintis untuk memperkenalkan produk ini secara meluas," katanya.