Harimau Malaya layak ke Piala Asia: Imbuhan dibincang minggu hadapan

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, pada Khamis.
KUALA LUMPUR, June 16 -- Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob speaks at the launching ceremony of the MRT Putrajaya Line Phase 1 at Kampung Batu MRT station here today.
--fotoBERNAMA (2022) COPYRIGHT RESERVED
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, pada Khamis. KUALA LUMPUR, June 16 -- Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob speaks at the launching ceremony of the MRT Putrajaya Line Phase 1 at Kampung Batu MRT station here today. --fotoBERNAMA (2022) COPYRIGHT RESERVED
A
A
A

PERBINCANGAN berkenaan pemberian imbuhan kepada skuad Harimau Malaya mahupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan diadakan minggu hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, setakat ini imbuhan yang bakal diberi masih belum diketahui sama ada secara terus kepada pemain ataupun kepada FAM.

Ismail Sabri berkata, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkannya bahawa pemain perlu mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan di luar negara sebelum aksi Piala Asia 2023 bermula.

"Kita dah jadi empat terbaik di ASEAN ini, kalau kita bermain dengan pasukan yang kualitinya lebih rendah daripada Malaysia, ia tidak akan membawa banyak perubahan kepada pasukan kita.

"Pastinya kita kena main selepas ini dalam perlawanan-perlawanan persahabatan dengan pasukan yang lebih kuat daripada negara kita," katanya pada sidang media selepas menaiki Trasit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Sri Damansara Sentral di sini, pada Khamis.

Ismail Sabri berkata demikian sebagai menjelaskan kenyataannya pada Rabu berhubung kerajaan akan mempertimbang pemberian imbuhan dan penganjuran sambutan keraian sempena kejayaan skuad Harimau Malaya mengesahkan slot ke Piala Asia 2023.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan FAM akan membawa pemain berkenaan bermain dengan pasukan kuat seperti Korea Selatan, Jepun atau pemain-pemain negara Arab lain yang memang dianggap pasukan kuat.

"Jadi kalau itu (bermain di luar negara) mereka memang memerlukan kewangan, jadi saya nak bincang dengan FAM. Sebab kita tahu hoki juga telah berjaya masuk Piala Dunia, jadi hoki juga perlu diberikan pertimbangan untuk memberikan imbuhan kepada mereka.

"Tetapi bentuk imbuhan itu saya akan bincang dengan Presiden hoki (Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal), Presiden FAM, bentuk macam mana," katanya.

Dua hari lepas, skuad negara bimbingan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, menumbangkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Asia selaku antara lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia adalah pada edisi 1980 di Kuwait dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi dalam pusingan akhir Piala Asia pada 2007 namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah. - Bernama