X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Tuanku Zara Salim berkenan lawat SMK Seri Samudera

Tuanku Zara Salim melawat tapak pameran kreativiti dan inovasi yang dikendalikan pelajar di SMK Seri Samudera, Manjung pada Khamis.
A
A

LUMUT - Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Sekolah Amanah Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera di Manjung di sini pada Khamis.

Keberangkatan baginda diiringi Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon; Exco Pendidikan, Pengajian dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Pendidikan Perak, Aznan Alias.

Baginda turut berkenan melawat ke Kelas Pendidikan Khas dan Kelas Kompetensi Struktur Pembelajaran Koperatif (CLS) pembelajaran Tingkatan Lima selain lawatan ke tapak pameran inovasi yang dikendalikan pelajar SMK Seri Samudera.

Pengetua, Sahila Shukor berkata, pemilihan sebagai Sekolah Amanah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 2017 mencipta sejarah tersendiri buat sekolahnya.

"Dalam tempoh lima tahun dengan bimbingan dan penyeliaan pihak Yayasan Amir dan LeapEd Service Sdn Bhd, kami berusaha mencapai akreditasi sebagai Sekolah Amanah dan hasilnya hari ini kita melihat pelbagai kejayaan sama ada di peringkat daerah, negeri dan antarabangsa.

"Kemenjadian pelajar turut terserlah apabila sekolah kami mendapat 100 peratus lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2020, menyertai 'World Robotic Olympiad peringkat antarabangsa selain berjaya menyertai Universal Robotic Challenge 2021," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berhasrat agar kejayaan yang dilakarkan itu menjadi model kepada sekolah lain di negeri ini dan seluruh negara untuk terus lebih berdaya maju.

"Kami berharap kecemerlangan dalam bidang akademik, hal ehwal murid dan kokurikulum ini dapat diteruskan.

"Saya percaya budaya Sekolah Amanah ini patut dilestarikan dan dipraktiskan di sekolah-sekolah di bawah KPM," katanya.

Program Sekolah Amanah dimulakan oleh Kementerian Pendidikan bagi menjalankan program transformasi dalam persekitaran pembelajaran di sekolah awam melalui kerjasama bijak antara sektor awam dan swasta.

SMK Seri Samudera merupakan antara 94 sekolah yang dipilih di bawah program itu di seluruh negara sejak 2011.

Mengulas lanjut keputusan SPM 2021, Sahila berkata, buat pertama kali dua pelajarnya berjaya mendapat semua A dalam keseluruhan mata pelajaran, manakala 10 pelajar mendapat cemerlang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!