Suhu politik suam, Felda bakal ada parti sendiri?

Tokoh korporat, Tan Sri Rozali Ismail menyuarakan hasrat untuk menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda.
Tokoh korporat, Tan Sri Rozali Ismail menyuarakan hasrat untuk menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika suasana politik negara agak suram daripada isu-isu panas, timbul cadangan penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka serta menjadi suara dan naungan kepada masyarakat peneroka.

Perkara itu disuarakan oleh tokoh korporat, Tan Sri Rozali Ismail yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd.

Rozali berkata, hasrat berkenaan timbul selepas mesyuarat agung tahunan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) pada Selasa yang mengusulkan untuk persatuan itu mengkaji bagi menubuhkan parti Keluarga Felda SeMalaysia.

Bagaimanapun katanya, parti yang dicadangkan itu lebih kepada parti buruh disebabkan majoriti penduduk Felda adalah golongan buruh dan penubuhannya bermatlamat untuk membela generasi buruh yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.

"Usul ini akan dibawa ke majlis tertinggi pengurusan GWGF minggu hadapan kerana kita mempunyai 17 persatuan di bawah GWGF bagi membincangkan dengan teliti sama ada usul ini dapat dilaksana bagi kebaikan masyarakat Felda dan golongan buruh di Malaysia," katanya pada Rabu.

Sementara itu, Pas pula dilapor masih berharap kerjasama politik antara parti besar Melayu untuk kepentingan negara.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, parti itu masih belum tutup buku dalam hal tersebut.

"Bagaimanapun, jika UMNO berpendapat tidak perlu lagi kerjasama, mereka boleh tutup buku sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dilapor berkata, Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 [Akta 814] akan mula dikuatkuasakan pada 21 Jun ini.

Ia sebagai mana yang telah diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula dilapor menyenaraikan 11 kesalahan yang terlibat bawah pemansuhan hukuman mati mandatori.

Ia melibatkan kesalahan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong; melakukan perbuatan pengganas; mengarahkan aktiviti pengganas; menyediakan harta untuk pengganas; berkhidmat untuk pengganas; menerima suapan bagi memudahkan pengganas; menerima suapan bagi memudahkan jenayah terancang; membunuh; mengambil tebusan; melepaskan tembakan senjata api; dan menjadi rakan jenayah kes senjata api.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dilapor mencadangkan supaya Persidangan Parlimen Belia Malaysia akan datang melibatkan sesi penggulungan daripada sekurang-kurangnya timbalan menteri.

Langkah itu dapat memastikan setiap perkara dibangkitkan pada sesi perbahasan mendapat maklum balas dan maklumat lengkap daripada kementerian berkaitan.

Perkembangan kemenangan skuad Harimau Malaya yang berjaya mara ke ke Piala Asia 2023 juga turut diberi perhatian apabila Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan mempertimbangkan pemberian imbuhan dan penganjuran sambutan keraian sempena kejayaan tersebut.

Dalam pada itu, harga runcit RON97 pula dilapor meningkat selama dua minggu berturut-turut selepas ia naik sebanyak 11 sen seliter bagi tempoh 16 hingga 22 Jun.

Ini selepas Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memaklumkan, harga baharu RON97 berkuat kuasa hari ini adalah RM4.83 sen seliter.

Perkembangan berita semasa juga menyaksikan keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menarik balik rayuan berhubung permohonan mengkomitkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas atas tuduhan menghina mahkamah.

Firma guaman, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, arahan itu dibuat oleh keluarga Muhammad Adib kerana tidak lagi mahu memanjangkan perkara tersebut