KPDNHEP patahkan cubaan seludup minyak secara berkumpulan

Taktik empat penyeludup membuat pergerakan secara berkumpulan dengan membeli petrol di beberapa stesen minyak di sekitar negeri ini berjaya dipatahkan oleh KPDNHEP Kelantan pada awal pagi Rabu.
Taktik empat penyeludup membuat pergerakan secara berkumpulan dengan membeli petrol di beberapa stesen minyak di sekitar negeri ini berjaya dipatahkan oleh KPDNHEP Kelantan pada awal pagi Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Taktik empat penyeludup membuat pergerakan secara berkumpulan dengan membeli petrol di beberapa stesen minyak di sekitar negeri ini berjaya dipatahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan pada awal pagi Rabu.

Kesemua penyeludup itu ditahan pada jam 1.30 pagi dalam serbuan di sebuah stesen minyak Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa hasil Operasi Bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali, Kelantan di sekitar Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, sejurus ditahan pihaknya mendapati kumpulan berkenaan menggunakan tangki yang diubah suai dengan kapasiti besar serta beberapa tong jerikin bagi mengaburi pihak berkuasa untuk tujuan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kesemua kenderaan tersebut iaitu sebuah pacuan empat roda dan tiga kereta telah menjumpai 1,462 liter minyak petrol yang dianggarkan berjumlah RM1556.50.

"Kesemua penyeludup yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 40 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, KPDNHEP Kelantan tidak menolak kemungkinan bekalan bahan bakar akan dijual kepada pemborong di negara jiran menerusi pangkalan haram.

Aswadi berkata, kes disiasat bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Siasatan lanjut juga akan dijalankan terhadap stesen minyak tersebut di bawah akta yang sama dan kesemua kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan," katanya.

Menurutnya, kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan di sempadan negara sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan barang kawalan yang diseludup ke negara jiran ini dapat dibanteras.

Katanya, ia bagi memastikan pengguna dapat menikmati subsidi harga yang ditawarkan dan peniaga mematuhi perundangan yang ditetapkan serta bekalan sentiasa mencukupi kepada pengguna.

"KPDNHEP bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat," katanya.