Pemaju rugi jika pengambilan tanah Kampung Sungai Baru dibatalkan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini sewajarnya diteruskan kerana memenuhi syarat perundangan di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dan 89 peratus penduduk terlibat telah bersetuju dengan pembangunan semula kawasan tersebut.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dalam satu kenyataan berkata, pemaju akan menanggung kerugian besar jika proses pengambilan tanah tersebut dibatalkan.

Menurut kenyataan itu, pemaju bakal hilang RM50 juta iaitu bayaran deposit pengambilan tanah kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan RM30 juta bagi kos penyediaan rumah transit serta rumah sewa kepada penduduk yang bersetuju dengan projek pembangunan semula tersebut.

"Pemaju juga terpaksa menanggung kos pemindahan semula penduduk yang setuju pulang ke rumah asal serta kos pembaikan rumah yang telah ditinggalkan selama enam tahun.

"Dalam hal ini, kerajaan perlu bersedia menanggung semua kos kerugian pemilik yang bersetuju dan pemaju seperti yang dinyatakan sekiranya kerajaan enggan meneruskan proses pengambilan tanah berdasarkan APT 1960," kata kenyataan itu pada Rabu.

Pada Ahad, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bersama Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru mengadakan sidang akhbar menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghentikan pihak pemaju daripada mengambil tanah mereka.

Selain itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu pihaknya akan membuat laporan polis dan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat kerana mendakwa ada isu rasuah dalam kes tersebut.

Seramai 37 pemilik rumah teres atau 11 peratus yang belum menurunkan tandatangan susulan membantah projek pembangunan tersebut.

Menurut kenyataan itu, campur tangan pihak-pihak yang tiada kepentingan dan pengetahuan berkenaan pembangunan tersebut telah menyebabkan kekeliruan dan isu yang tidak munasabah bagi tujuan kepentingan diri pihak tersebut.

"YB Khalid telah mengambil kesempatan untuk menularkan satu fakta yang tidak tepat, bersifat remeh dan menyusahkan semua pihak khususnya majoriti pemilik yang telah bersetuju dengan pembangunan semula ini," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, berdasarkan sesi libat urus pada 7 Jun 2022, PKB telah membentangkan persetujuan pemaju yang membuat tawaran semula usahasama kepada pemilik 37 lot teres yang membantah projek tersebut.

"Tawaran ini merangkumi insentif persetujuan perjanjian usahasama, bayaran pengosongan rumah sedia ada, bayaran pemindahan ke unit gantian, unit gantian (in-kind) serta lebihan bayaran unit gantian secara tunai, bayaran penyewaan rumah transit dan bayaran ubah suai rumah sedia ada yang akan ditentukan oleh pihak profesional.

"Setiap lot teres dianggarkan memperoleh bayaran di antara RM2.7 juta hingga RM7.4 juta bergantung kepada keluasan tanah dan bangunan lot teres sekarang. Ini adalah tawaran yang maksimum dan terbaik oleh pemaju," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak oleh baki 11 peratus penduduk yang membantah pengambilan tanah tersebut yang kemudian memohon Pewartaan Seksyen 8, APT 1960 berdasarkan berkenaan pengambilan tanah projek Pembangunan Semula Kawasan Sungai Baru, Kuala Lumpur dibatalkan dan dibincangkan semula selain meminta memberikan tawaran lebih tinggi.

Menurut kenyataan itu, proses pembangunan semula Sungai Baru telah dilaksanakan mengikut peruntukan perundangan sedia dan tiada isu penindasan atau ketidakadilan kepada penduduk.

"Dalam hal ini juga, perhatian perlu diberikan kepada kepentingan dan kebaikan pemilik yang telah bersetuju dengan pembangunan," kata kenyataan itu.