Polis siasat kumpulan lelaki sokong ahli politik India hina Nabi

Video tular di aplikasi Tik Tok yang memaparkan sekumpulan lelaki warga asing menyokong tindakan ahli politik India menghina Nabi Muhammad SAW.
Video tular di aplikasi Tik Tok yang memaparkan sekumpulan lelaki warga asing menyokong tindakan ahli politik India menghina Nabi Muhammad SAW.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan berhubung video tular menerusi aplikasi Tik Tok yang memaparkan sekumpulan lelaki warga asing menyokong tindakan ahli politik India menghina Nabi Muhammad SAW di negara tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan berdasarkan video berkenaan mendapati tindakan tersebut dilakukan di hadapan sebuah kuil di Batu Caves.

"Rakaman video dikesan tular di pelbagai aplikasi media sosial yang lain seperti Facebook dan Whats App.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan/undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Orang ramai diminta agar sentiasa cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," katanya.

Pada Selasa, tular video di aplikasi Tik Tok memaparkan sekumpulan warga asing mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan ahli politik India yang menghina Nabi Muhammad SAW di negara tersebut.