Nasib veteran tentera, pesara polis terbela

Wan Rosdy (kiri) menyerahkan replika cek bantuan kepada Mohamed Lokman.
Wan Rosdy (kiri) menyerahkan replika cek bantuan kepada Mohamed Lokman.
A
A
A

TEMERLOH - Nasib veteran tentera dan pesara polis di negeri ini turut mendapat perhatian kerajaan negeri melalui Bantuan Prihatin Pahang 2022 di bawah Kluster Apresiasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kluster Apresiasi merupakan salah satu daripada empat kluster yang bakal menerima bantuan itu selain Kluster B40, Pelajar dan Anak Muda, serta Kluster Umum.

Menurutnya, bagi Kluster Apresiasi, penerima bakal menerima sumbangan tunai RM200 setiap orang secara one-off dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.8 juta.

"Ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri sejak pandemik (Covid-19) sehingga kini dan Insya-ALLAH usaha ini akan diperhebatkan lagi pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2, Kluster Veteran Tentera dan Bekas Polis Peringkat Negeri Pahang di Dewan Dato' Zaharuddin Abu Kassim pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Negeri Pahang, Mohamed Lokman Mahmud dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang, Kapten (B) Abdul Latif Mohd Nor.

Dalam pada itu, Wan Ismail berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dan menggambarkan bahawa jumlah bantuan berkenaan bakal dinaikkan pada masa akan datang susulan.

kedudukan kewangan negeri yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

"Insya-ALLAH kita akan tambah (peruntukan) lagi sebab saya nampak prestasi keputusan hasil kerajaan negeri bertambah baik dan sekarang sudah dapat RM670 juta.

"Jadi ini adalah janji kerajaan negeri di mana kita akan bagi balik kepada rakyat sama ada dalam bentuk barangan mahupun tunai," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri optimis untuk mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion susulan pencapaian hasil yang menunjukkan peningkatan berterusan sebelum ini membabitkan RM866 juta (2021) RM850 juta (2020) dan RM843 juta (2019).

"Saya lihat masih ada lagi ruang-ruang yang kita boleh tingkatkan hasil tanpa membebankan rakyat," katanya.