Kajian menyeluruh RKK Janda Baik akan dilakukan: MB

Wan Rosdy ketika menyampaikan bantaun Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 Kluster Veteran Tentera dan Pesara Polis di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Peragap pada Selasa.
Wan Rosdy ketika menyampaikan bantaun Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 Kluster Veteran Tentera dan Pesara Polis di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Peragap pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - Pendengaran awam berkaitan Rancangan Khas Kawasan (RKK) Janda Baik yang dijadualkan pada Selasa ditangguhkan dan satu kajian teliti yang menyeluruh akan dilakukan berhubung perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penangguhan itu dibuat berikutan pihaknya menerima beberapa bantahan penduduk mengenai projek tersebut.

Justeru katanya, satu kajian lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang perkara terbabit.

“Bila ada bantahan tersebut, saya ingin tahu lebih mendalam tentang masalah yang timbul berkenaan projek itu.

“Ini adalah proses biasa bagi setiap usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 Kluster Veteran Tentera dan Pesara Polis di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Peragap pada Selasa..

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung bantahan daripada penduduk Janda Baik terhadap RKK Janda Baik dan RTD Bentong.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menepis dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri cuba mengambil tanah yang diusahakan nenek moyang penduduk.

“Projek ini mesti mendapatkan persetujuan oleh pemilik tanah dengan bayaran dan pampasan yang dipersetujui. Kita bukan zalim tapi ia dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

“Sekiranya keadaan ini merugikan orang ramai, kita tidak akan membuat tindakan sedemikian. Justeru kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan,” katanya.

Jelasnya, setakat ini projek tersebut dalam peringkat proses biasa dan masih belum mendapat kelulusan.

“Belum ada sebarang keputusan muktamad namun ia digambarkan sudah muktamad dan kita harap penduduk tidak keliru dengan keadaan ini,” jelasnya.