Nafas, Angkasa bantu tangani masalah kenaikan harga, bekalan ayam

Ismail Sabri dalam pertemuan bersama Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Anggota Lembaga Angkasa, bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.
Ismail Sabri dalam pertemuan bersama Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Anggota Lembaga Angkasa, bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam menjamin sekuriti makanan secara sekala besar diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam.

“Bagi tujuan itu, Nafas telah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

“Angkasa pula telah mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin dan menampung sebanyak 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bera itu berkata, Nafas dan Angkasa akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

Menurutnya, Nafas menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor ayam setahun, manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor ayam setahun.

"Pada pagi ini, saya telah bertemu dengan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Anggota Lembaga Angkasa, bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.

“Saya yakin Nafas dan Angkasa berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan.

“Ini kerana Nafas mempunyai seramai sejuta ahli, manakala tujuh juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Angkasa juga diminta menerajui sektor koperasi dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

“Pada masa yang sama, langkah proaktif Nafas dan Angkasa ini juga mampu menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” tambahnya.