Suami isteri ditahan terlibat penipuan RM3.9 juta

Mohd Kamarudin menunjukkan barangan yang dirampas daripada pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dengan penipuan emel.
Mohd Kamarudin menunjukkan barangan yang dirampas daripada pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dengan penipuan emel.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memberkas pasangan suami isteri disyaki terlibat dalam kes penipuan emel (Business Email Compromise) membabitkan kerugian RM3.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun bersama suaminya warga Nigeria berusia 43 tahun itu ditahan di Semenyih, pada Isnin.

"Kita memberkas dua suspek berkenaan susulan laporan polis pada 8 Jun lalu daripada seorang lelaki warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menetap di Dubai yang mendakwa mengalami kerugian RM3.9 juta.

"Mangsa telah berurusan dengan sebuah syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat melalui emel untuk pembelian simen berjumlah 41,000 tan metrik pada Mac lalu," katanya melalui sidang akhbar di pejabat JSJK di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, suspek disyaki menggodam emel dan menggunakan nama syarikat serta emel hampir sama dengan syarikat yang mangsa sedang berurusan.

"Suspek seterusnya mengarahkan mangsa membuat pembayaran bagi urusniaga tersebut melalui akaun keldai, setelah pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima barangan yang dijanjikan," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz S300L, sebuah kereta jenis Proton Exora serta enam telefon bimbit pelbagai jenama.

"Kita turut merampas dua utas jam tangan, dua buah komputer riba, 10 unit cop, barang kemas, dokumen dan pelbagai barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan yang djalankan," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya juga telah mengambil tindakan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 untuk membekukan wang tunai berjumlah RM1.8 juta dari akaun bank milik syarikat suspek.

"Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, sejumlah 57 kes penipuan BEC telah dilaporkan melibatkan jumlah kerugian RM49.2 juta pada 2021.

"Manakala pada bagi tempoh Januari hingga 13 Jun lalu, 23 kes telah dicatatkan dengan jumlah kerugian RM15.1 juta," katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan, ahli perniagaan yang menggunakan emel dalam urusan seharian agar sentiasa berhati-hati.

"Pastikan emel yang diterima adalah benar-benar daripada pihak pembeli atau penjual. Waspada sekiranya terdapat arahan berkaitan perubahan akaun bank bagi tujuan pembayaran.

"Sebaiknya, hubungilah syarikat penjual, pembeli melalui panggilan telefon bagi mendapatkan pengesahan berkenaan perubahan akaun tersebut," katanya.