Murabbi Ummah Pahang terima peruntukan lebih RM60.4 juta

Idris (dua dari kiri) menyerahkan replika cek peruntukan kewangan kepada imam, bilal,siak, guru takmir dan guru Kafa negeri Pahang pada Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang 2022 pada Selasa.
Idris (dua dari kiri) menyerahkan replika cek peruntukan kewangan kepada imam, bilal,siak, guru takmir dan guru Kafa negeri Pahang pada Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang 2022 pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan menyalurkan peruntukan kewangan lebih RM60.4 juta kepada Murabbi Ummah melibatkan imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Pahang tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan melalui Yayasan Takwa di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut meluluskan bantuan lebih RM561,000 untuk membina dan membaik pulih 45 masjid serta 45 surau yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Menurutnya, bantuan kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kafa di Pahang itu melibatkan bayaran khas RM500 secara 'one-off' kepada 3,584 penerima membabitkan peruntukan lebih RM1.7 juta.

"Bayaran khas itu telah disalurkan kepada penerima menjelang Aidilfitri lalu.

"Selain itu, kerajaan juga meneruskan caruman RM232.80 di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) Perkeso kepada golongan itu di Pahang tahun ini dengan jumlah peruntukan RM834,355 setahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang 2022 di sini pada Selasa.

Majlis dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Dr Zulkifle Ali.

Mengulas lanjut, Idris berkata, bayaran imbuhan kepada 1,391 imam dan 525 guru takmir di negeri ini juga telah disalurkan kepada golongan itu dengan jumlah peruntukkan RM19.7 juta.

"Bagi menghargai sumbangan guru Kafa, kerajaan turut menyalurkan bayaran bantuan khas kepada 2,662 penerima tahun ini dengan jumlah peruntukan RM1.3 juta.

"Jumlah keseluruhan peruntukan kewangan bagi imam, bilal, siak dan guru takmir di Pahang adalah RM22.4 juta melibatkan 9,084 penerima manakala peruntukan keseluruhan untuk elaun guru Kafa pada tahun ini pula adalah RM36.6 juta," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kuota guru takmir di seluruh negara telah ditambah menjadikan jumlah keseluruhannya 5,000 orang tahun ini.

Menurutnya, melalui penambahan 1,000 kuota itu, kerajaan terpaksa memperuntukan RM10.8 juta setahun menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tujuan itu RM54 juta setahun.