Pelajar lelaki asrama SMAP Labu cemas bilik gosok pakaian terbakar

Keadaan kebakaran melibatkan sebuah bilik menggosok pakaian di asrama lelaki SMAP Labu, Nilai pada awal pagi Selasa. - Gambar ihsan bomba
Keadaan kebakaran melibatkan sebuah bilik menggosok pakaian di asrama lelaki SMAP Labu, Nilai pada awal pagi Selasa. - Gambar ihsan bomba
A
A
A

SEREMBAN - Pelajar asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Nilai dekat sini yang sedang tidur dikejutkan dengan insiden kebakaran melibatkan sebuah bilik menggosok pakaian di asrama berkenaan pada awal pagi Selasa.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Harzizi Hashim berkata, bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 2.16 pagi.

"Sejurus tiba di asrama itu, kami mendapati berlaku kebakaran melibatkan bahagian sebuah bilik menggosok pakaian pelajar di asrama lelaki sekolah tersebut.

“Bilik berkeluasan 30 meter persegi itu dipadamkan dalam masa 10 minit dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dan Mantin, "katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, pelajar lelaki asrama berkenaan sedang tidur, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.