Pesara wanita rugi RM220,500 terpedaya 'Love Scam'

PDRM
PDRM
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pesara mengalami kerugian berjumlah RM220,500 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Love Scam’ pada November tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, ia bermula apabila wanita berumur 60 tahun dari Pendang itu berkenalan dengan suspek menerusi Facebook yang kemudian memperkenalkan dirinya sebagai ‘Amran Mohammad Ali’.

"Mangsa yang telah kematian suami sejak 2008 kemudian berhubung dengan suspek yang memaklumkan bahawa dia bekerja sebagai seorang doktor di Syria, menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Suspek telah meminta bantuan daripada mangsa untuk memasukkan beberapa transaksi wang ke dalam akaun suspek bagi membantunya kerana sering berada dalam kesusahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, mangsa yang mempercayai suspek, telah membuat kemasukan wang secara berperingkat melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam tujuh akaun bank berbeza yang diberikan suspek.

"Mangsa telah membuat 51 transaksi berjumlah RM220,500 ke dalam kesemua akaun yang diberikan bermula Disember 2021 hingga Mei lepas dan duit berkenaan adalah daripada simpanannya sendiri. Mangsa sedar dirinya ditipu dan telah membuat laporan polis semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan dan membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun bank menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu,” katanya. - Bernama