Nikmati durian tak kira musim di Milla Hana Pulut Kedah

Pulut durian ditawarkan tanpa mengira musim di Kafe Milla Hana Pulut Kedah di Bandar Amanjaya Sungai Petani.
Pulut durian ditawarkan tanpa mengira musim di Kafe Milla Hana Pulut Kedah di Bandar Amanjaya Sungai Petani.
A
A
A

PEMINAT durian kini tidak perlu lagi menunggu musim luruh untuk menikmati keenakan raja buah itu memandangkan ia boleh dinikmati sepanjang tahun.

Pemborong durian, Roslan Abdul Razak berkata, pihaknya menawarkan hidangan berasaskan raja buah itu termasuk pulut dan cendol melalui pembukaan Milla Hana Pulut Kedah di Bandar Amanjaya di sini Rabu lalu.

Menurutnya, bekalan yang diperoleh daripada beberapa peraih dan pemborong di seluruh negara membolehkan hidangan tersebut ditawarkan tanpa mengira musim.

"Buat masa ini, stok bekalan banyak memandangkan buah durian mulai gugur sejak beberapa bulan ini.

Setakat ini, bekalan diperoleh dari Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Kelantan.

"Bagi memastikan buah cukup, kami turut mendapatkan bekalan dari Thailand untuk menampung permintaan tinggi sepanjang tahun," katanya.

Hidangan pulut durian mendapat permintaan tinggi pelanggan Milla Hana Pulut Kedah.
Hidangan pulut durian mendapat permintaan tinggi pelanggan Milla Hana Pulut Kedah.

Jelasnya, beliau mengusahakan perniagaan buah-buahan sejak 35 tahun lalu namun kini lebih tertumpu kepada jualan berasaskan durian.

"Dulu saya berniaga dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain menggunakan basikal, kini berjaya membuka kafe pertama Milla Hana Pulut Kedah di Tikam Batu.

"Alhamdulillah berkat kesabaran dan sokongan pelanggan yang datang dari seluruh pelosok negara serta kunjungan pelancong asing membolehkan perniagaan berasaskan durian ini dikembangkan dengan pembukaan cawangan baharu di sini," katanya.

Jelasnya, inisiatif yang dilakukan juga berjaya menarik lebih ramai pengunjung untuk ke negeri jelapang padi itu bagi merasai keenakkan raja buah tersebut.

Selain pulut dan cendol durian, Milla Hana Pulut Kedah turut menyediakan pulut dan cendol mangga serta lebih 10 menu sampingan berasaskan durian.

“Untuk set pulut durian, pelanggan boleh pilih sama ada inginkan durian kampung, kahwin, musang king, duri hitam atau lain-lain.

“Selain itu, kita juga ada menu sampingan berasaskan durian seperti lemang, ketupat, seri kaya durian, durian crepe, ais krim durian, popia durian wrap dan pelbagai lagi.

“Semua hidangan dijual dengan harga serendah RM3 hingga RM39. Kafe ini dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 10 malam," katanya.

Abd Razak menunjukkan hidangan pulut dan cendol yang ditawarkan sepanjang tahun di kafe miliknya.
Abd Razak menunjukkan hidangan pulut dan cendol yang ditawarkan sepanjang tahun di kafe miliknya.

Abd Razak berkata, lokasi yang strategik berdekatan Plaza Tol Sungai Petani Utara selain dikelilingi pusat membeli-belah, pusat perubatan swasta serta beberapa kemudahan lain diharapkan mampu memberi keselesaan buat peminat raja buah merasai kelazatan hidangan yang ditawarkan sepanjang tahun di situ.