Jawi, pengerusi masjid dan surau, bincang maksimum fungsi masjid

Idris (tengah) hadir merasmikan persidangan menghimpunkan pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau Jumaat Wilayah Persekutuan.
Idris (tengah) hadir merasmikan persidangan menghimpunkan pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau Jumaat Wilayah Persekutuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau Jumaat Wilayah Persekutuan dihimpunkan dalam satu persidangan bagi berkongsi pendapat dan pengalaman dalam usaha memaksimumkan peranan serta fungsi masjid khususnya pada fasa peralihan endemik.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan berkata, seramai 490 peserta telah menghadiri persidangan itu bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, perkongsian pengalaman tentang pengurusan masjid terbaik telah disampaikan oleh Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abdul Jamal Sakaran dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Rahimah, Kuala Lumpur, Mohd Shah Hasim.

"Satu kertas cadangan berkaitan Penubuhan Tabung Pembangunan dan Penyelenggaraan Masjid/Surau di Wilayah Persekutuan dibentangkan bagi mewujudkan sumber kewangan untuk membantu pembangunan dan penyelenggaraan masjid atau surau yang kurang berkemampuan.

"Sepanjang tahun 2021, sejumlah RM 2,878,901 peruntukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) digunakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan masjid serta surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan," kata kenyataan itu pada Isnin.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan turut dihadiri Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, Profesor Ir Dr Shaliza Ibrahim.

Tambah kenyataan itu, Jawi turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Masjid Hijau bersama Universiti Malaya pada program sama.

"MoU itu sebagai usaha mengimplementasikan amalan lestari dan inovasi hijau masjid-masjid di Wilayah Persekutuan selaras dengan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024.

"YB menteri turut melancarkan buletin Al-Mihrab yang diterbitkan secara berkala sebagai wadah menyebarkan pelbagai informasi dan aktiviti pengimarahan masjid, " katanya.

Untuk rekod, sehingga kini terdapat 89 masjid, 123 surau Jumaat, dan 611 surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.