Kera ganggu, ceroboh rumah penduduk perumahan

Tangkap layar menunjukkan kumpulan kera menceroboh rumah penduduk di Taman Sirambai di sini.
Tangkap layar menunjukkan kumpulan kera menceroboh rumah penduduk di Taman Sirambai di sini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan terdapat aduan kacau ganggu kera seperti mana dakwaan penduduk di Taman Sirambai di sini.

Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya memandang serius aduan berkenaan dan sudah mengambil tindakan susulan.

Menurutnya, usaha menangani ancaman kera termasuk memasang perangkap sudah digerakkan dan sehingga kini masih diteruskan dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun kita akan meningkatkan keupayaan keberkesanan perangkap ini di lokasi aduan yang bersesuaian," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin ketika diminta mengulas mengenai tular gangguan kera di kawasan perumahan penduduk.

Beliau memberitahu, 76 ekor kera berjaya ditangkap sekitar lokasi terbabit sejak tahun 2019.

Sebelum ini tular video berdurasi satu minit 28 saat pada Ahad memaparkan kumpulan monyet menceroboh kawasan perumahan terbabit.

Menerusi hantaran dikongsi sebuah laman Facebook memaklumkan, penduduk di taman perumahan itu bimbang diancam sekumpulan haiwan liar berkenaan.

Lebih membimbangkan apabila kumpulan kera terbabit menceroboh kawasan rumah dan merosakkan harta benda penduduk.

"Situasi ini berlaku sejak beberapa tahun lalu dan dikhuatiri boleh mencederakan penduduk," kata laman Facebook terbabit.