Cubaan seludup ubatan kawalan guna bot gagal

Bot ditahan kira-kira jam 6.30 petang dibuat hasil maklumat dan risikan mengenai vesel yang mencurigakan di perairan terbabit.
Bot ditahan kira-kira jam 6.30 petang dibuat hasil maklumat dan risikan mengenai vesel yang mencurigakan di perairan terbabit.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Cubaan menyeludup pelbagai jenis ubatan menggunakan bot barter trade berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Tanjung Harapan, di sini pada Sabtu.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, penahanan bot kira-kira jam 6.30 petang itu dibuat hasil maklumat dan risikan mengenai vesel yang mencurigakan di perairan terbabit.

Menurutnya, bot barter trade yang sarat dengan muatan pelbagai jenis ubatan kawalan itu dikendalikan lima tekong dan kru warga Indonesia.

"Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah namun gagal mengemukakan permit berkaitan barangan yang dibawa.

"Maritim Selangor kemudian merampas sembilan kotak berisi pelbagai jenis ubat kawalan yang dimuatkan di dalam bot terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Maritim Selangor merampas sembilan kotak berisi pelbagai jenis ubatan kawalan selepas menahan sebuah bot barter trade di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang pada Sabtu.
Maritim Selangor merampas sembilan kotak berisi pelbagai jenis ubatan kawalan selepas menahan sebuah bot barter trade di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 23 hingga 62 tahun telah dibawa ke pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Racun 1952.

Katanya, maritim akan terus menguatkuasakan undang-undang di laut bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan negara.

"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 atau di talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera," ujarnya.